
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO Kedah berdepan kehancuran menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, dakwa seorang pemimpin bahagiannya.
Memetik laporan FMT, sumber yang enggan namanya disiarkan mendakwa sokongan kepada parti keramat itu semakin menurun dengan ketara selepas presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyingkirkan ‘panglima perang’ UMNO sebelum PRU, November lalu.
“Kita dapat lihat 40% ahli UMNO tidak lagi mengundi kita. Jika dilihat di Kuala Kedah misalnya, kita mempunyai kira-kira 21,000 ahli di kawasan itu. Pada pilihan raya lalu, Mashitah Ibrahim hanya menerima 9,000 undi daripada ahli parti.
“Kami percaya 12,000 lagi undi diberikan kepada calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi daripada PAS,” kata sumber itu.
Beliau merujuk ‘panglima perang’ UMNO kepada Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada bertanding dalam PRU lalu.
Meskipun ramai akar umbi yang gembira apabila pemimpin veteran UMNO tidak lagi bertanding namun mereka kecewa apabila Zahid turut bertanding yang dilihat sebagai hipokrasi memandangkan beliau berdepan tuduhan rasuah, kata sumber itu.
Tambahnya lagi keadaan menjadi lebih buruk apabila Zahid membuat ‘pembersihan’ kedua di mana pemimpin hebat seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Shahril Hamdan digantung sementara Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa dipecat.
Dakwanya lagi sokongan pengundi di semua kawasan majoriti Melayu juga telah beralih kepada PN kerana muslihat pemimpin tertinggi UMNO.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) disingkirkan di Kedah pada PRU-15 selepas gagal memenangi sebarang kerusi seentara Pakatan Harapan pula berjaya menang satu kerusi iaitu Sungai Petani daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.
Pada PRU-14, UMNO hanya memenangi dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN di Kedah berbanding 18 kerusi dimenangi PH dan 15 lagi oleh PAS.