UMNO kecam kenyataan jelik Puad tolak Ismail Sabri jadi ‘poster boy’

August 25, 2022 · Politik

Kenyataan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dilantik, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mencadangkan parti tidak memerlukan ‘poster boy’ menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mendapat kecaman daripada pemimpin UMNO seluruh negara.

Speaker DUN Johor itu menerusi satu hantaran di Facebook, semalam berkata ‘poster boy’ tidak lagi relevan dan boleh menjadi bola tanggung, ‘punching bag’ atau senjata makan tuan.

Sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bercadang menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naik Presiden parti sebagai ‘poster boy’ kerana dilihat mampu menyatupadukan parti-parti komponennya.

Puad mengeluarkan kenyataan itu setelah Mahkamah Persekutuan kelmarin menghantar terus rakan baiknya Datuk Seri Najib Razak ke Penjara Kajang, setelah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beberapa pemimpin UMNO menyifatkan kenyataan Puad itu sebagai jelik, tidak wajar dan tidak menggambarkan pendirian parti, selain tidak menghormati keputusan parti, menurut Bernama.

Di SELANGOR, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam Datuk Dr Abd Rahman Bakri, berkata sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana individu seharusnya tidak mendahului perkara yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti serta MT UMNO.

Abd Rahman berkata UMNO sebelum ini telah memutuskan Naib Presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ serta calon Perdana Menteri dan perkara menggantikan ‘poster boy’ itu tidak perlu dibangkitkan kerana ia adalah keputusan parti.

“Kita orang setia dan sayangkan parti. Parti sebelum ini sudah putuskan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri. Itu keputusan sebelum ini.

“Apa benda nak bercakap tunggu keputusan daripada ‘top 5’, biro politik dan MT. Ia bukan keputusan individu atau bahagian,” katanya.

Senada dengan beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, yang berkata keputusan meletakkan ‘poster boy’ dan Perdana Menteri telah diputuskan oleh parti dan seharusnya ahli perlu menghormatinya.

“Sesiapa boleh komen tapi kena hormati apa yang telah parti putuskan. Bagi saya keputusan parti lebih penting daripada keputusan individu. Individu setakat diri dia sahaja,” katanya.

Ketua UMNO Damansara, Datuk Ikhwan Salim Sujak, berkata penampilan ‘poster boy’ untuk sesebuah parti perlu ada untuk memperkenalkan siapa yang akan menerajui kerajaan sekiranya UMNO memenangi pilihan raya kelak.

Di JOHOR, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin mengingatkan ahli UMNO agar tidak mengeluarkan saranan-saranan jelik yang menampakkan usaha mencampuri sistem kehakiman negara.

Beliau berkata meskipun dalam keadaan bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ahli UMNO diingatkan tidak berbuat begitu.

“Jangan pula kita menghodohkan wajah UMNO dengan saranan-saranan jelik yang menampakkan usaha mencampuri sistem kehakiman negara,” katanya.

Sementara itu di KEDAH, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Annuar Ahmad, berkata pemilihan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri untuk PRU-15 telah diputuskan sebulat suara oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO Khas yang diadakan pada Mei lalu.

Justeru, katanya, sebarang keputusan untuk mengubah perkara itu perlu dibincangkan pemimpin tertinggi UMNO dan tidak sepatutnya dinyatakan secara terbuka bagi mengelakkan persepsi yang tidak elok terhadap parti.

“Tidak perlulah kita menimbulkan sesuatu yang boleh mendatangkan masalah pula kepada parti atau mengeruhkan suasana,” katanya.

Di MELAKA, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman, membidas kenyataan Puad terutama ketika saat parti perlu bersatu dalam menghadapi pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata segala cadangan boleh dikemukakan menerusi platform yang telah disediakan parti dan mana-mana individu tidak seharusnya menggunakan media dalam meluahkan rasa tidak puas hati mengenai sesuatu perkara.

“Hari Sabtu ini kita akan ada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), kita jumpa dan lontarkan apa yang saja pandangan kita. Tapi untuk kepentingan parti, bukan individu. Namun bagi isu ‘poster boy’, bagi saya, apa yang dilontarkan dan dijanjikan… kita ikut sajalah,” katanya.

Pada Sabtu ini, UMNO akan mengadakan sesi Taklimat Khas Presiden bersama semua pimpinan parti itu termasuk ahli jawatankuasa (AJK) bahagian.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, ahli MT UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias, menasihati mana-mana pemimpin parti untuk tidak membuat kenyataan yang boleh merenggang hubungan ahli dalam parti.

Beliau berkata MT UMNO telah membuat keputusan pada April lalu untuk mencalonkan Perdana Menteri sebagai ‘poster boy’ untuk PRU-15.

Jalaluddin berkata ia juga melambangkan sikap berjiwa besar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan, yang meletakkan kepentingan parti demi kemenangan BN, lebih penting berbanding jawatan.

“Bukan isu “poster boy” yang harus kita bicarakan, sebaiknya kita perkemaskan jentera parti di setiap peringkat dalam menarik minat pengundi untuk memilih siapa sahaja wajah yang tertera di poster BN dalam PRU-15 nanti,” katanya.

Berita berkaitan
Kutipan dana Jamal untuk bayar kes saman fitnah cecah RM300,000
5 jam lalu· Politik
Mangsa banjir di Johor naik 222 orang, banyak kampung Parlimen Mat Maslan terjejas
8 jam lalu· Isu semasa
Tak pernah bincang Zahid jadi calon PM, kata Naib Presiden UMNO
9 jam lalu· Politik
Kit Siang mahu PM isytihar tiada PRU sebelum bentang Bajet
10 jam lalu· Politik
Popular
Tak pernah bincang Zahid jadi calon PM, kata Naib Presiden UMNO
September 26, 2022
Tunggu bubar Parlimen, baharu Khairuddin umum sertai parti baharu
September 26, 2022
Walaupun diasak UMNO, PM belum dapat ilham bila nak bubar Parlimen
September 26, 2022
Kutipan dana Jamal untuk bayar kes saman fitnah cecah RM300,000
September 26, 2022
Lagi Politik terkini
Tunggu bubar Parlimen, baharu Khairuddin umum sertai parti baharu
15 jam lalu · Politik
Walaupun diasak UMNO, PM belum dapat ilham bila nak bubar Parlimen
19 jam lalu · Politik
Anwar nafi akan tanding Ampang, tapi tempat anak murid bagaimana?
September 25, 2022 · Politik
PH berhaluan kiri, mentaliti UMNO pula rasuah, kleptokrasi: Wan Saiful
September 25, 2022 · Politik
Pihak dakwa Melayu gagal perintah negara buta sejarah: Hadi Awang
September 25, 2022 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Sambutan ulang tahun ke-6 Bersatu meriah, agih bantuan makanan
7 jam lalu
[VIDEO] Penganalisis ramal OPR naik lagi November depan
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok