UMNO kalah jika tak berpakat dengan parti lain: Ahli MT

Pemimpin UMNO Perlis membayangkan parti itu akan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan kekal sebagai pembangkang jika tidak berpakat dengan mana-mana parti lain.

Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jumlah kerusi yang akan dimenangi UMNO tidak akan cukup untuk parti itu membentuk kerajaan jika tidak berpakat dengan mana-mana parti lain.

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu berpandangan jauh untuk berpakat dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRU15.

“Ini benda yang kena kita fikirkan. Kena berbincang. Kalau awal-awal tak setuju dengan orang, orang pun tak setuju dengan kita. Kalau UMNO boleh dapat 120 atau 112 kerusi, okey, tak payah berpakat pun tak apa sebab kita boleh bentuk kerajaan.

“Tiba-tiba tak cukup (kerusi) dapat 60 atau 40, bagaimana kita boleh pastikan untuk dapat 120 kerusi. Kalau sekarang Umno bertanding dan tak cukup 120 kerusi, sekarang no DAP, no PKR, no PPBM, siapa nak pakat dengan kita? Terus jadi pembangkang?

“Sebab kita dari awal kata kita tak mahu pakat dengan sesiapa, tiba-tiba tak cukup (majoriti), lepas tu kita nak minta pakat pula. Siapa nak pakat dengan kita?” katanya kepada pemberita di PWTC, hari ini.

Zahidi ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pandangan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa kedudukan parti itu lebih besar berbanding parti lain di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Setuju ke tidak itu perkara subjektif yang perlu dilihat selepas pilihan raya umum (PRU). Kita buat urusan tapi lepas PRU. Urusan bagaimana, itu yang kami rasa kami kena bincang,” katanya.

Beliau berkata, tiada siapa yang akan bersetuju untuk berpakat dengan UMNO sekiranya parti itu menolak lamaran kerjasama parti lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR