
Timbalan Pengerusi Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed menuduh Pakatan Harapan (PH) memanipulasi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan gabungan Perikatan Nasionan (PN) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kepentingan politiknya sendiri.
Dalam catatan Facebook, bekas Ahli Parlimen (MP) Pulai itu berkata, MoU berkenaan kononnya untuk gencatan senjata politik, tetapi sebaliknya, gabungan PH – PKR, DAP, AMANAH dan UPKO – mengambil kesempatan menyerang gabungan BN dan parti komponen utamanya, UMNO.
“Hari ini hari terakhir MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 antara kerajaan dan pihak pembangkang.
“Tempoh MoU itu kononnya untuk gencatan senjata politik, tetapi pembangkang lebih bersemangat mengkritik kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya nampak pembangkang terutamanya parti-parti dalam PH sengaja memainkan pelbagai isu untuk memburukkan kerajaan Ismail Sabri,” katanya.
Nur Jazlan menuduh PH hanya mahu melanjutkan MoU untuk memanjangkan hayat politik gabungan itu sendiri.
“Mereka mahu kekal sebagai Ahli Parlimen dan agak takut Ismail Sabri akan membubarkan Parlimen awal. Pemimpin PH nampaknya sudah ketagih dengan kuasa dan jawatan yang dikecapi ketika berada dalam kerajaan.
“Sebab itu mereka cuba memanipulasi MoU, untuk mengatur gerakan merampas semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.
Beliau menyifatkan pemimpin PH licik dalam kebolehan mereka memanipulasi isu demi kepentingan mereka dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan, UMNO dan BN.
“Mereka tahu bahawa dengan memanfaatkan isu-isu mempolitikkan rakyat, matlamat boleh membenarkan cara. Mereka telah memperkatakan isu subsidi dan kenaikan harga barang untuk melepaskan tembakan kepada kerajaan dan UMNO/BN.
“Malah mereka turun ke jalan raya untuk mengadakan demonstrasi dan flash mob untuk menjadikan BN sebagai beg untuk ditumbuk bagi kepentingan politik,” katanya.
Beliau kemudian mempersoalkan mengapa PH hanya menjadikan UMNO atau BN sebagai sasaran mereka sedangkan terdapat ahli gabungan PN dalam kerajaan.