UMNO jangan mudah lupa diri, tidak ada istilah ‘abang besar’: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan UMNO supaya tidak mudah lupa diri dan kembali menjadi angkuh apabila mahu membuat keputusan sesuka hati tanpa berbincang dengan rakan parti komponen kerajaan lain.

Presiden Bersatu itu berkata sedemikian selepas terdapat desakan dalam UMNO yang mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan segera dan seakan-akan parti dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan tarikh pilihan raya diadakan tanpa berbincang dengan parti lain dalam kerajaan.

“Kita dengar di luar, kata PRU nak sampai (sudah dekat) tapi sebenarnya bukan Umno (sahaja) yang tentukan.

“PN akan duduk bincang (bersama) bila masa yang sesuai. Ini antara terma untuk sokongan kita (terhadap Ismail),” katanya ketika ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata malah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengakui kerajaan yang terbentuk sekarang bukan kerana majoriti yang dimiliki UMNO semata-mata dan menasihati UMNO supaya jangan mudah terlupa diri.

“Sebagaimana disebut Perdana Menteri (Ismail Sabri) sendiri, dia kata UMNO kembali memegang tampuk kerajaan bukan parti itu ada jumlah kerusi majoriti atau bukan kerana UMNO menang… kerana sokongan diberikan parti-parti dalam PN (Perikatan Nasional) dan Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kita.

“Jadi saya nak pesan sesetengah pihak dalam Umno ni, bukan semualah… hormatlah kita ni sikit, ‘there’s no big brother’ (kita) sama saja… jangan mudah lupa diri,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,600 perwakilan.

“Kena cakap lembut saja, takut salah faham, bukan kerana takut…,” katanya lagi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN itu juga berkata, walaupun UMNO membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU015 yang disifatkannya sebagai “menakjubkan”, parti di bawah gabungan itu tetap memberikan sokongan kepada PM dari UMNO untuk menerajui negara sehingga Parlimen dibubarkan.

“Kita berikan sokongan kepada Perdana Menteri dan kita bersama beliau dalam kerajaan… Ya, saya tiada dalam kerajaan tetapi saya Presiden parti yang menyokong kerajaan dan sokongan ini berdasarkan terma-terma tertentu.

“Kita tandatangani perjanjian persefahaman yang mana ada terma-terma yang perlu dipatuhi dan diikuti yang telah kita setuju bersama,” katanya lagi.

Beliau juga berkata selagi terma-terma tersebut dipatuhi, selagi itu jugalah sokongan akan diberikan kepada kerajaan Ismail Sabri.

“Kita tak dedahkan cuma kita bagi tajuk saja, dan selagi mana terma-terma ini dipatuhi selagi itulah kita beri sokongan sehingga tiba masa sesuai untuk diadakan PRU-15,” katanya.

Mengenai tempoh sesuai untuk diadakan PRU-15, mantan PM itu berkata, perkara berkenaan berdasarkan budi bicara dan persetujuan semua parti yang menyokong kerajaan, bukan mengikut keputusan satu parti saja.

BERITA BERKAIT
POPULAR