
Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin terkejut dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa DAP lebih baik daripada PAS.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terkejut dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa DAP lebih baik dan tidak bermuka-muka dalam berkawan, berbanding Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS.
Malah beliau mendakwa Mohamad atau Tok Mat tidak bercakap jujur apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding PAS sehingga menjadi antara alasan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP, membentuk Kerajaan Persekutuan.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa, ini kerana Ahli Parlimen Rembau bercakap sebaliknya sebelum ini, ketika menemuinya pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya wallahi nak cerita… sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), beliau (Mohamad) ada datang ke rumah saya.
“Apa yang disampaikan kepada saya ialah: ‘Brother, saya hendak maklumkan sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang’.
“Malah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi pertemuan dan kata-kata itu.
“Namun, apabila beliau kini menyatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik… apahal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini, mereka sentiasa bercakap pusing-pusing,” katanya menurut BH.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di Tumpat, hari ini (12 Januari 2023).
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Takiyuddin.
Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara semalam, berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU-15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.
Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan PAS kerana mendakwa PAS tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.
Mengulas lanjut, Hamzah mengaku terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada perhimpunan agung parti itu, semalam.
“Jika mereka menyatakan DAP lebih baik daripada PAS, ini bermakna UMNO sudah tidak betul… mana boleh DAP lebih baik (daripada PAS).
“Justeru, saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang menyatakan DAP lebih baik berbanding PAS,” katanya.