UMNO boleh desak PRU, tapi takut adakan pemilihan parti

UMNO sebelum ini menggesa supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan segera tanpa menghiraukan keadaan Covid-19 dan darurat dihadapi negara, tetapi apabila didesak supaya diadakan pemilihan parti sebaliknya yang berlaku.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi alasan Covid-19 dan darurat akan menyukarkan pemilihan parti diadakan walhal beliau harus sedar perkara sama juga yang akan dihadapi kerajaan sekiranya PRU diadakan.

“Saya berpandangan dalam keadaan darurat dan Covid-19 ini memang susah kita nak adakan mesyuarat cawangan-cawangan, kerana mesyuarat pada kali ini adalah merupakan mesyuarat yang ada pemilihan.

“Bila ada pemilihan, kita tidak boleh halang ahli daripada datang tapi selagi kita dalam keadaan PKPB, kita tidak boleh untuk menjemput semua perwakilan hadir disebabkan oleh penjagaan SOP dan lain-lain,” katanya hari ini.

Terdahulu, pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) menggesa pemilihan diadakan tahun ini, namun pemimpin atasan parti itu memberi pelbagai alasan untuk menolaknya.

Untuk rekod, kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada akhir Jun 2018 yang menyaksikan pertembungan lima penjuru bagi jawatan Presiden, membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah, Mohamed Iqbal Maricair, dan Mohd Yusof [email protected]

Mengulas lanjut, Mohamad membayangkan pemilihan UMNO hanya akan dibuat selepas PRU Ke-15 diadakan terlebih dahulu bagi mengelak perpecahan di kalangan ahli dan pemimpin parti itu.

“Kita ada garis masa, kita tidak pula kata mahu tangguh sampai 18 bulan, itu sebabnya kita ikut turutan parti bahawa kita nak lihat pilihan raya umum diadakan pada Ogos ini.

“Jadi kita tunggulah sampai pilihan raya umum, tidak usah menafikan, kalau ada pemilihan mesti ada perpecahan, mesti ada. Mengapa kita perlu beri peluru kepada orang, kepada musuh untuk tembak kita,” katanya.

POPULAR