
UMNO kini menjadi rakan sekutu Pakatan Harapan.
UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun sudah menjadi rakan politik dalam kerajaan campuran.
Logo dacing kekal digunakan sebagai simbol UMNO-BN dan bukan bendera merah PH, kata Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamad Hassan yang tidak menolak beberapa parti bersekutu juga akan dipertimbangkan untuk menggunakan lambang mereka.
Katanya, perkara itu sudah dipersetujui semua pihak termasuk beberapa parti sekutu yang ingin menggunakan logo dacing.
“Sekarang kita sedang pertimbangkan ada rakan sekutu yang menggunakan logo kita di negeri-negeri tertentu.
“Ini strategi pilihan raya yang boleh memberikan impak lebih baik pada PRN nanri,” katanya dipetik laporan BH.
Mohamad terdahulu ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira hari ini.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci parti mana dan kawasan mana yang akan menggunakan bantuan parti sekutu.
Katanya, BN akan bertanding dan berkempen menggunakan logo sendiri sebagai penanda aras bagi persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Untuk rekod, UMNO-BN membentuk kerajaan campuran bersama PH yang terdapat parti komponen DAP, Amanah dan PKR yang selama ini menjadi musuh tradisi mereka.
Bagaimanapun, ekoran kekalahan memalukan pada PRU-15 lalu menyaksikan UMNO-BN terpaksa bersama PH untuk membentuk kerajaan pusat kerana tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi.