UMNO berubah di tengah jalan, kata Hadi Awang

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara PAS dan UMNO ditamatkan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar).

Beliau berkata, sebelum ini sudah ada jawatankuasa kedua-dua parti itu bagi membincangkan berhubung pembahagian kerusi pada PRU15 akan datang.

Katanya, sekarang ini PAS hanya berunding pembahagian kerusi dengan Bersatu sahaja.

“Sekarang ini sudah ada pimpinan PAS yang melaksanakan tugas itu dengan Bersatu. Dengan UMNO pula, dulu sudah ada jawatankuasa yang dibentuk tetapi UMNO yang ubah di tengah jalan.

“Oleh kerana UMNO bermasalah, kita dengan Bersatu dulu (bincang pembahagian kerusi),” katanya hari ini.

Hadi berkata, rundingan dengan UMNO bagaimanapun akan diteruskan setelah parti itu membuat keputusan atau mempunyai hala tuju yang jelas mengenai kerjasama dengan PAS dan Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, UMNO di bawah kepemimpinan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluluskan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kerajaan PN untuk menghadapi PRU15.

UMNO juga memutuskan untuk bertanding sendirian menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada PRU itu nanti, namun beberapa parti komponennya dilihat mula menjauhkan diri.

Kemelut dalaman UMNO dipanaskan lagi dengan tersebarnya klip audio suara yang mirip Zahid berbual mesra dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika PAU itu.

Klip audio itu menyebabkan pemimpin kanan UMNO mendesak Zahid meletak jawatan dan mengadakan pemilihan parti kerana ahli akar umbi mula hilang kepercayaan terhadap beliau yang dianggap cuba mengadakan ‘kerjasama sulit’ dengan Pakatan Harapan (PH).