
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tekanan terus diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memandangkan keputusan permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu semakin dekat.
Tinggal beberapa hari menjelang tarikh akhir 16 Julai untuk RoS memuktamadkan keputusannya terhadap permohonan dibuat UMNO sebelum ini dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan UMNO berhak untuk mengambil sebarang keputusan demi kepentingan parti itu.
Ahmad atau Mat Maslan itu menjelaskan semua penyandang jawatan bagi semua peringkat parti itu bukan berstatus ‘caretaker’ dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
Menurutnya, Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.
“Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, RoS pada 30 Ogos 2021. Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Disember 2022.
“Ketika pelanjutan tempoh itu, tiada istilah ‘caretaker’ dalam Perlembagaan UMNO. Oleh itu, UMNO berhak membuat apa jua keputusan bagi kepentingan parti.
“Ini termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.15 iaitu ‘Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti’,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu juga MT berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat MT, Bahagian dan Cawangan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.16.
Ujarnya, penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.
Sementara itu, dalam hantaran sama, Ahmad turut memaklumkan UMNO masih lagi menunggu kelulusan daripada RoS mengenai pindaan perlembagaan parti itu.
“Segala dokumen tambahan telah diberi. Tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang RoS perlukan.
“Ini saya tanyakan sendiri kepada mereka. Adalah diyakini UMNO telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan,” katanya.