
Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan.
UMNO dilihat cuba memadam kisah-kisah yang didedahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, termasuk berhubung sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Perdana Menteri (PM).
Terbaharu, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan mengajak pemimpin dan ahli parti itu melupakan peristiwa lampau dan tidak memperbesar-besarkannya hingga memberi keuntungan kepada pembangkang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tajuddin bahawa pemimpin tertinggi parti itu pernah mengisytiharkan sokongan kepada Anwar tahun lalu sedangkan parti itu terus melaungkan ‘No DAP, No Anwar’.
“Cerita lama tak perlu diungkit dan ditokok tambah. Hadir dalam mana-mana perjumpaan tak semestinya bermakna menyokong apa-apa gerakan. Presiden sendiri lebih tahu dan sudah lama tahu tentang hal ini dan biarlah beliau yang mengadili,” kata Shahril dalam satu kenyataan.
Mengingatkan ahli supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan Tajuddin bahawa pemimpin tertinggi parti itu menyokong Anwar, Shahril juga meminta supaya semua pihak bertenang serta bersatu supaya pihak lawan tidak menggunakan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai peluang untuk menyerang UMNO.
“Ramai yang sedang memberi komentar dan spekulasi tentang keadaan dalaman parti UMNO. Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan-dakwaan tersebut adalah pihak lawan.
“Segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang UMNO. Naratif lawan akan jadi mudah – “bagaimana UMNO hendak jual kestabilan kalau dalam UMNO sendiri tak berpadu?.
“Hari-hari adu domba dan mesej tular melabel si polan kluster Putrajaya, si polan kluster PWTC. Spekulasi tak henti-henti yang ini akan kena pecat yang itu akan kena pecat.
“Yang ini akan jadi calon yang itu takkan jadi calon. Ada yang tembak Presiden ada yang tembak PM. Cybertrooper UMNO digerakkan untuk serang orang UMNO sendiri,” katanya.
Semalam, Tajuddin mendedahkan pelbagai kepincangan di dalam UMNO, termasuk mengatakan presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbohong mengenai laungan “No DAP No Anwar” sedangkan pemimpin atasan parti memberi sokongan kepada Anwar untuk jawatan PM.
Menurut Tajuddin, Zahid juga sebenarnya mempunyai cita-cita mahu menjadi PM, dan penamaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM dan “poster boy” Barisan Nasional (BN) sebenarnya hanya umpan supaya disegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Tak boleh pakai cerita poster boy ini semua, ini semua umpan… umpan kepada PM supaya dia bersetuju mengadakan pilihan raya (segera). Bila ada pilihan raya, dia (Zahid) masih nak bertanding, jadi Presiden parti, kalau menang UMNO, tak menang pun tapi UMNO jadi parti komponen utama dalam kerajaan baharu, dia lah jadi PM,” kata Tajuddin.