
Fitch Solutions melihat bahawa UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan.
Sebuah syarikat penyelidikan risiko negara dan industri antarabangsa, Fitch Solutions berkata UMNO kini berpecah kepada dua kumpulan, selain tidak memberi jaminan gabungan Barisan Nasional (BN) akan menang mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Dalam laporan pada Rabu (22 Jun), firma itu membangkitkan risiko perpecahan semasa di dalam UMNO itu sendiri.
Menurut laporan itu perpecahan melibatkan kumpulan yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta sekutunya, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kami melihat risiko perselisihan pendapat mengenai puak mana yang akan memimpin UMNO dan BN ke dalam pilihan raya dan mengenai pembentukan Kabinet BN sekiranya mereka menang,” kata firma itu.
Fitch Solutions berkata dalam jangka masa sederhana, tanpa mengira puak mana UMNO bakal membentuk kerajaan, ia menjangkakan momentum reformasi akan kekal perlahan.
Menurutnya pertikaian puak berkemungkinan berterusan kemudian, manakala hakikatnya landskap pilihan raya Malaysia kini jauh lebih kompetitif berbanding ketika BN menjadi dominan dalam 61 tahun pertama kemerdekaan dan reformasi Malaysia.
Menjangkakan PRU-15 mungkin diadakan pada separuh kedua tahun ini, jauh lebih awal daripada tarikh akhir September 2023, firma itu berkata walaupun BN dan UMNO nampaknya berada dalam kedudukan dominan, kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya akan datang masih jauh daripada terjamin.
Firma itu berkata ianya sesuatu yang baik jika UMNO berjaya menambah kerusinya walaupun risiko kekal condong kepada perpecahan dalaman parti itu.
Fitch Solutions berkata ia melihat beberapa bulan akan datang agak kurang menggalakkan untuk proses penggubalan dasar kerana perhatian kerajaan mungkin tertumpu kepada kempen, tetapi terdapat potensi peningkatan dalam jangka sederhana jika BN berjaya memperoleh majoriti yang lebih kukuh dan membentuk kerajaan seterusnya.
Firma itu juga berkata siri kerajaan tidak stabil dengan majoriti tipis yang telah menghalang proses politik sejak 2020 akan berakhir jika BN mencapai kemenangan besar.
“Kami telah mengekalkan skor indeks risiko politik jangka pendek kami untuk Malaysia pada 64.4 daripada 100 untuk mencerminkan ketidaktentuan yang berkaitan dengan penggubalan dasar dan kesinambungan dasar.
“Apabila pilihan raya telah berlalu, kami mungkin menyemak semula markah subkomponen ini untuk mencerminkan dinamik politik baharu,” kata Fitch Solutions.