ULASAN: UMNO bakal ke laut juga

December 14, 2022 · Politik

Sebahagian pemimpin UMNO mungkin berbangga kerana parti itu yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) buat kali keduanya, terus berada dalam kerajaan walaupun sudah dua kali ditolak rakyat dalam dua pilihan raya umum (PRU).

Namun begitu ‘kejayaan’ itu tidak mampu menutup fakta bahawa dalam PRU-15, rakyat khususnya orang Melayu, telah menolak parti dianggap keramat itu. Pencapaian UMNO jauh merosot berbanding PRU-14 yang menyaksikan UMNO hilang kuasa pemerintahan selepas 61 tahun.

Walaupun pada PRU-15, BN menang 30 kerusi, UMNO menguasai 26 kerusi sahaja. Empat lagi kerusi adalah milik MCA (dua), dan masing-masing satu kerusi MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Pencapaian 26 kerusi itu adalah paling buruk dalam sejarah UMNO dalam pilihan raya.

Bagaimanapun Presiden UMNO dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ‘terselamat’ kerana beliau mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian termasuklah sayap Wanita UMNO untuk kekal menerajui parti itu.

Walaupun ada beberapa orang pemimpin yang mahu Zahid bertanggungjawab atas prestasi buruk UMNO dan BN, namun ia ibarat ‘gigitan semut’ sahaja.

Sepatutnya bukan kata Zahid, malah keseluruhan barisan kepemimpinan termasuk ketua-ketua sayap perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada UMNO dalam PRU-15.

Bayangkan UMNO hanya menang 26 kerusi dalam pilihan raya itu, tiada satupun kerusi Parlimen di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka, manakala di Perak dan Pahang, terpaksa mengharapkan ‘ehsan’ Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri.

Daripada 26 kerusi UMNO menang itu, Negeri Sembilan memperoleh lima kerusi, Pahang (5 kerusi), Johor (7 kerusi), Perak (2 kerusi) dan Wilayah Persekutuan (1 kerusi).

Pada PRU-14, Barisan Nasional menang 11 kerusi Prlimen di Perak; Pahang (sembilan); Johor (lapan); Kelantan (lima); Negeri Sembilan (tiga); dan masing-masing dua kerusi di Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Terengganu; dan Melaka.

Ketika ini ada desakan oleh beberapa ketua bahagian supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi dalam pemilihan akan datang. Kalau itu mahu dilakukan, terpulang kepada UMNO tetapi apa yang pasti faktanya orang Melayu sudah menjauhkan diri daripada parti itu.

Keputusan PRU-15 membuktikan orang Melayu, mungkin termasuk ahli-ahli UMNO sendiri, sudah muak dengan ‘mainan politik’ barisan kepemimpinan parti itu.

Paling ketara apabila mereka diperingatkan berkali-kali ‘No Anwar, No DAP’, tetapi kesudahannya BN/UMNO kini berada dalam satu kerajaan dengan Anwar Ibrahim, PH dan DAP, dengan bersandarkan hujah ‘menjunjung titah Agong’.

Soalnya, kenapa UMNO memilih untuk bersama PH sedangkan mereka ada pilihan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Campuran bersama Perikatan Nasional? Usahlah memberi alasan parti-parti di Sarawak mahu bersama PH sedangkan GPS sudah menegaskan bahawa mereka akan menyertai mana-mana gabungan yang BN sertai.

Tetapi tidak mengapalah semua itu sudah menjadi sejarah. Kepemimpinan UMNO pun sudah nampak seronok dan selesa berada bersama-sama dengan Anwar dan DAP dalam ‘satu kapal’, walaupun mereka mengecam dan memaki hamun antara sama lain ‘sehingga tidak ingat dunia’ sebelum dan semasa kempen PRU-15.

Namun soalnya adakah tindakan itu akan menguntungkan politik UMNO bagi jangka masa panjang khususnya berkaitan sokongan orang Melayu terhadap parti itu?

Statistik keputusan PRU-15 menunjukkan, Perikatan Nasional yang dianggotai dua parti Melayu iaitu Bersatu dan PAS mendapat sokongan 54 peratus orang Melayu, Cina (0.05%), India (0.05%).

Manakala PH pula mendapat sokongan Melayu sebanyak 11 peratus, Cina (94%), India (83%) dan lain-lain (66%), sementara bagi BN pula tahap sokongan berdasarkan kepada kaum ialah Melayu 33%, Cina (5%) dan India (16%).

Dalam perbualan penulis dengan pelbagai pihak termasuk penganalisis politik dan ahli UMNO, mereka berpendapat, parti itu perlu diselamatkan daripada terus dibuai ‘mimpi indah’ berada dalam kerajaan yang diketuai oleh PH.

Jika pemimpin UMNO masih lagi diam, tidak berbuat apa-apa kononnya mahu menjaga ketenteraman dalam parti, teruskanlah tetapi ia akan memungkinkan sokongan rakyat kepada parti itu terus merudum.

Perlu diingat, dulu rakyat khususnya orang Melayu tidak ada pilihan. Mereka hanya ada dua pilihan sama ada menyokong PH atau UMNO (BN). Tetapi sekarang, Perikatan Nasional yang didalamnya ada Bersatu dan PAS boleh menjadi pilihan mereka.

Gabungan Bersatu dan PAS dianggap gelombang baharu dalam politik tanah air, gelombang integriti dan gelombang hijau semakin menggegarkan dan membentuk arus hala tuju sokongan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya. Paling ketara pengundi muda turut bersama gelombang tersebut.

Pemimpin PH dan DAP menyedari ‘ancaman’ itu, justeru, masing-masing memainkan peranan tersendiri bagi meranapkan ‘gelombang integriti dan gelombang hijau’ tersebut.

Pemimpin PKR membangkitkan soal kononnya wujudnya penyelewengan dana RM600 bilion bagi menjejaskan kredibiliti Bersatu dan Muhyiddin Yassin manakala pemimpin DAP bercakap soal negara Islam bagi menakut-nakutkan orang bukan Islam.

Pemimpin UMNO pula ada yang cuba ‘tumpang semangkuk’ dengan terus memainkan lagu lama, Bersatu mahu menggantikan UMNO dan Perikatan Nasional mahu menggantikan BN. Tiada gunanya terus ‘menjual’ modal basi itu.

Keputusan PRU-15 dan apa yang berlaku selepas pilihan raya itu sudah menjadi bukti, memang Bersatu dan PAS akan menggantikan UMNO dan Perikatan Nasional akan menggantikan BN jika pemimpin UMNO masih lagi belum sedar-sedar dan terus mempertahankan pemimpin yang sudah ditolak oleh rakyat.

Setakat ini, penulis tidak nampak ada pemimpin yang akan menjadi ‘Jebat’ dalam UMNO, kesemuanya ‘bermain cara selamat’ walaupun di peringkat akar umbi sudah menggelupur mahukan sesuatu dilakukan bagi menyelamatkan UMNO.

Kesimpulannya, penulis teringat bendera BN yang dipacakkan di persisiran pantai di sebuah daerah di Kedah, lambat-laun akan ‘ke laut’ juga apabila arus deras.

UMNO juga akan menerima nasib yang sama jika tiada usaha dilakukan bagi memulihkan dalaman parti khususnya melibatkan barisan kepemimpinannya. Keputusan PRU-15 sudah menjadi bukti. Oleh itu isyarat apa lagi yang UMNO tunggu!

Zulkiflee Bakar

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Berita berkaitan
Kena jaga hati parti dalam kerajaan, PM ulas jika bekas ahli UMNO masuk PH
5 jam lalu· Politik
Nepotisme dan Kronisme: Bad Governance!
5 jam lalu· Politik
Terima Khairy masuk PKR, nanti UMNO terguris hati macam mana? soal Aminuddin
10 jam lalu· Politik
Perpecahan UMNO berisiko jejas peluang PH pada PRN, kata pemimpin DAP
10 jam lalu· Politik
Popular
Perpecahan UMNO berisiko jejas peluang PH pada PRN, kata pemimpin DAP
January 29, 2023
Terima Khairy masuk PKR, nanti UMNO terguris hati macam mana? soal Aminuddin
January 29, 2023
UMNO sekarang hanya menumpang orang untuk dapat jawatan: Ku Li
January 29, 2023
Undang-undang anti-lompat halang sertai parti Hajiji, kata Armizan
January 29, 2023
Lagi Politik terkini
Apa beza keluarga Anwar dengan Trump? soal Wan Fayhsal
3 jam lalu · Politik
Undang-undang anti-lompat halang sertai parti Hajiji, kata Armizan
10 jam lalu · Politik
Pembersihan UMNO hampir sama dengan langkah PKR pada 2020 pecat pemimpin sendiri
15 jam lalu · Politik
Lawan lempar tuduhan, hanya cubaan rosakkan imej PAS-PN
15 jam lalu · Politik
UMNO sekarang hanya menumpang orang untuk dapat jawatan: Ku Li
15 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Ramai dah mula sedar, UMNO tak peduli orang Melayu
12 jam lalu
[VIDEO] Terserah kepada KJ sertai Bersatu
15 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok