Ubah keputusan kepada Yes Anwar, Yes DAP: Shahidan Kassim

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tidak wajar untuk UMNO mengadakan apa-apa program bersama DAP.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta parti itu mengubah keputusan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, seandainya wujud arahan baharu daripada pimpinan supaya perlu bekerjasama dengan mereka.

“Sekarang ini keputusan UMNO ialah No Anwar, No DAP. Jadi kalau nak jemput DAP sekalipun, keputusan itu perlu diubah dulu, jadi YES Anwar Yes DAP.

“Ini bermakna, untuk sekarang, tidak wajar untuk kita adakan apa-apa program bersama DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tangkap layar WhatsApp perbualan antara pemimpin UMNO yang menerima arahan daripada Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan supaya pimpinan UMNO untuk turut menjemput wakil DAP dalam setiap program anjuran parti itu.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, keputusan itu tidak wajar dibuat ketika ini kerana dikhuatiri akan memecah-belahkan ahli.

“Nak ubah keputusan itu, ia perlu melalui Majlis Tertinggi atau dalam Perhimpunan Agung UMNO. Kalau ada mana-mana pihak yang cuba untuk ubah keputusan itu, ia akan memecahkan-belahkan parti. Ini kerana perbuatan itu melanggar keputusan parti,” katanya lagi.

UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) menegaskan pendirian parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdahulu Agenda Daily melaporkan Zahid membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Tegas Zahid, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Khabar angin juga semakin kuat kedengaran Zahid adalah perancang utama untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zahid juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

POPULAR