Tunggu PRN selesai, PN tak terburu-buru umum calon KM: Wan Saiful

Perikatan Nasional (PN) akan menunggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai terlebih dahulu sebelum mengumumkan calon Ketua Menteri (KM) kerana fokus sekarang adalah memastikan menang semua calon yang bertanding.

Perkara itu dijelaskan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berkata fokus sekarang adalah bagi memastikan kemenangan diperoleh terlebih dahulu dan siapa yang bakal menjadi KM akan diputuskan kepada Majlis Tertinggi PN.

“Saya rasa biar kita fokus terlebih dahulu dengan PRN dan kemudian baru umum calon Ketua Menteri. Sebenarnya telah ada perbincangan dan sudah ada idea, siapa yang hendak dinamakan bagi mengisi jawatan berkenaan.

“Siapa ada dalam dewan undangan negeri (DUN), kita akan pilih jadi calon Ketua Menteri dan biar Majlis Tertinggi yang umumkan nanti,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam sidang media, turut hadir Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menamakan calon Ketua Menteri masing-masing iaitu Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga penyandang kerusi DUN Lendu dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Berhubung kerjasama dengan parti lain jika tidak mencapai majoriti, Wan Saiful berkata, perkara itu akan dinilai selepas PRN tamat.

Menurutnya, PN mahu memenangi seberapa banyak kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

“Saya harapkan rakyat Melaka mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ketika ini dengan memilih PN bagi membentuk kerajaan majoriti.

“Saya tidak suka membuat spekulasi, kita lihat selepas PRN nanti,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR