Tunggu MUDA serah senarai kerusi, baharu bincang: Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi sebarang komitmen yang jelas berhubung kerusi yang bakal diberikan kepada Parti MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, ia walaupun berjanji pada awalnya akan memberi kerusi kepada parti baharu itu.

Presiden PKR itu sebaliknya berkata akan meneliti senarai kerusi parti diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu mahu tandingi tersebut dihantar kepada mereka terlebih dahulu sebelum meneruskan sebarang perbincangan.

“Tak apa biar mereka (MUDA) bawa senarai dulu kepada kita (PH), kemudian baru kita bincang,” katanya dipetik laporan FMT hari ini.

Anwar ditemui semasa menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (Serve) 2022 di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor.

Terdahulu, Parti MUDA menyatakan hasrat mahu bertanding 10 kerusi pada PRN Johor.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan gabungan itu akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan PKR mendapat jumlah kerusi paling banyak untuk mereka bertanding nanti.

Majlis Presiden PH berkata, gabungan itu yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju berunding dengan MUDA berhubung pembahagian kerusi.

Pengerusi MUDA Johor, Mohd Azrol Ab Rahani, sebelum ini berkata parti itu akan meletakkan semua calon di 56 kerusi DUN jika bertanding solo.

“Jika bertanding solo, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi DUN di Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar, namun seandainya kerjasama politik wujud membabitkan MUDA kita menyasarkan lebih daripada 10 kerusi yang diyakini mempunyai kelebihan buat kami,” katanya.

Pada 4 Feb lalu, Presiden MUDA Syed Saddiq berkata perbincangan dan rundingan antara partinya dengan PH berhubung kerjasama PRN Johor berjalan lancar.

Beliau berkata, bagaimanapun bentuk kerjasama itu belum diperincikan lagi termasuk pembahagian kerusi belum dimuktamadkan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat kedua-dua pihak apabila tiba masa yang tepat.

BERITA BERKAIT
POPULAR