
PRU-15 yang tertangguh di Padang Serai dan Tioman.
Walaupun dengan tindakan lompat parti Ahli Parlimen (MP) Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru ini, ia tidak akan menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melihat tindakan Zuraida itu sebagai akan menggugat kerajaan sedia ada kerana ia masih memiliki majoriti tetapi Ismail Sabri perlu menggantikan jawatan kosong dalam Kabinet dikalangan pemimpin UMNO, PAS atau Bersatu.
“Kalau keluar (parti), orang itu keluarlah. Tapi dia kata belum keluar lagi, dia tak dapat surat lagi. Parti Bangsa Malaysia bukan sebahagian daripada perikatan.
“Parti baharu kena minta kebenaran daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertainya. Tapi itu belum dibuat, belum diterima. Macam mana Zuraida nak duduk dalam Kabinet? Jadi, sewajarnya kedudukan dia perlu diganti dengan sesiapa sajalah sama ada daripada UMNO ataupun Bersatu ataupun PAS,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Menurut Dr Mahathir, ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan Ismail Sabri sepatutnya kekal sebagai PM sehingga habis penggal.
“Waktu sekarang tak sesuailah. Pasal soal lompat-melompat ini pun belum selesai dan kita dapati bahawa nak dipercepatkan ini ialah kerana UMNO percaya dia kuat waktu ini dan parti lawan tak kuat.
“Jadi, itu nak ambil guna kekuatan politik nak tentukan pilihan raya. Pilihan raya yang semacam itu bukanlah pilihan raya sebenar. Patutnya kita bagi masa semua pihak bersedia untuk bertanding. Pada masa itu rakyat boleh pilih,” katanya lagi.
Apabila ditanya kewajaran PRU-15 diadakan selepas habis penggal, Dr Mahathir menjawab “Ya. Sebaiknya ya.”
PRU-15 juga berbeza dengan senario sebelum ini, kata Dr Mahathir yang tidak menolak bekas PM Datuk Seri Najib Razak semakin diterima orang ramai berbanding PRU-15 sebelum ini.
“Tapi PRU-14, bukan saja saya, orang semua benci kepada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak. Orang nak buang dia. Jadi walaupun saya ada sama, mungkin saya punya contribution ada jugalah.
“Tapi kebencian orang kepada Najib menyebabkan mereka undi nak bagi jatuh Najib. Bukan undi untuk saya.
“PRU-15 ini Najib tak lagi dipandang hina oleh orang. Ada penyokong dia sampai cium tangan. Ada dia cerita konon dia tak salah walaupun mahkamah kata dia salah. Ada orang yang masih kata dia tak salah,” katanya lagi.