
Penyokong PN berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023) bagi menunjukkan solidariti mereka kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sti Muhyiddin Yassin. - Gambar Agenda Daily
Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kebangkitan rakyat menentang kezaliman dilakukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dijangka mencetuskan gelombang lebih besar daripada gerakan reformasi sekitar 25 tahun lalu.
Setiausaha Agung PAS itu turut menjangkakan rakyat akan bangkit menentang segala kerosakan yang dilakukan kerajaan PH-BN sekarang ini menerusi ‘Gelombang Abah’ yang akan diterjemahkan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan beberapa bulan lagi.
“Saya rasa apa (pendakwaan terhadap Muhyiddin) yang berlaku ini akan menambah lagi sokongan kerana rakyat memahami apa yang berlaku.
“Dan ini akan diterjemahkan dalam enam PRN akan datang. Kalau ada pihak menggunakan gerakan reformasi untuk mendapatkan sokongan, ini adalah lebih daripada reformasi, itu boleh saya katakan.
“Kami akan terus bersama dengan Muhyiddin,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan mahkamah, hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023).
Takiyudin berkata demikian ketika mengulas enam pertuduhan babitkan RM232.5 juta yang dikenakan ke atas Muhyiddin.
Reformasi adalah sebuah gerakan protes yang bermula pada September 1998 di seluruh negara susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan penyingkirannya daripada UMNO oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, atas beberapa salah laku, termasuk menyalahgunakan kuasa dan rasuah.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PN yakin pertuduhan terhadap Muhyiddin semata-mata berbentuk politik.
“PN yakin bahawa pertuduhan yang dikenakan ini adalah pertuduhan berbentuk politik… jadi kita yakin kita dapat menghadapi tuduhan-tuduhan ini dengan sebaiknya dan kita boleh menjangkakan keputusan yang akan keluar kelak,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga sependapat dengan Takiyuddin bahawa pendakwaan berkenaan berbentuk politik.
“Macam yang kita beritahu semalam… ini pendakwaan politik. Ini tidak adil kerana semua pertuduhan itu telah terbukti Tan Sri (Muhyiddin) langsung tidak terlibat kerana ramai orang yang menderma kepada parti.
“Sebab itu pada kita, ia adalah merupakan pendakwah terpilih hanya semata-mata nak tunjuk seolah-olah macam Presiden Bersatu ini melakukan kesalahan. Tapi kami yakin kita akan tentukan selepas ini kita akan menang dalam perbicaraan nanti,” katanya menurut Mkini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula menggesa pihak berkuasa tidak mengikut telunjuk kerajaan dalam menentukan keadilan buat Muhyiddin.
“Apabila mendengar pertuduhan-pertuduhan telah dilontarkan kita amat yakin bahawa abah kita tak bersalah. Kita yakin semua terlibat dengan pendakwaan mereka telah buat siasatan akan jalankan tanggungjawab demi rakyat… kerana Allah SWT.
“Kita yakin mereka tidak akan ikut telunjuk pemimpin-pemimpin yang rakus nak pertahankan kuasa takut dengan PRN yang akan berlaku di enam negeri.
“Pemimpin-pemimpin bacul ini tidak perlu dengar segala perintah mereka,” katanya sambil berharap rakyat bersama-sama berdoa agar Muhyiddin mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Saya harap semua ahli Armada, Ahli Srikandi seluruh umat Islam seluruh rakyat di Malaysia sama-sama munajat dan solat hajat memohon Allah SWT agar beri kemenangan kepada abah kesayangan kita,” katanya.