Tunggu dekat PRU-15, baharu pendirian UMNO Kedah dengan PAS berubah

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah hanya akan mengubah pendirian berhubung kerjasama dengan PAS di negeri itu apabila tiba dekat masa pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Buat masa ini, UMNO Kedah tidak membuat sebarang keputusan berhubung keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS kerana mahu menjaga kestabilan politik di negeri tersebut, kata Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Syed Johan berkata susulan kritikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini terhadap UMNO akan menyebabkan parti itu akan menilai semula kerjasama dengan PAS tetapi ia mungkin hanya berlaku apabila dekat PRU-15 nanti.

“Saya akui kerajaan negeri ini kini stabil kerana UMNO dan BN lebih rasional, tidak mudah melatah, tidak bersikap khianat untuk menekan butang serta lebih mementingkan kestabilan politik demi memajukan Kedah.

“Namun saya yakin pendirian UMNO dan BN di Kedah ini mungkin akan berubah pada PRU-15 setelah melihat Pas seolah-olah tidak lagi memperkukuh sebaliknya berusaha meruntuhkan Muafakat Nasional (MN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga sekali lagi mengulangi bantahan terhadap kenyataan Sanusi yang yang mendakwa kestabilan politik di Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya akan wujud sekiranya UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit, hingga tidak mampu menjejaskan kerajaan walaupun mereka menarik sokongan.

“Sebagai seorang pemimpin dari parti Islam, beliau harus berkata benar untuk memberitahu rakyat hakikat sebuah kerajaan yang stabil tidak akan tercapai jika jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan dan pembangkang berada dalam kedudukan seri atau cuma berkelebihan satu kerusi saja.

“Apatah lagi kerajaan itu sering diugut ‘tekan butang’ oleh rakan tadbirnya. Sudah pasti kerajaan tersebut lemah, goyah, tidak efektif serta sukar membuat keputusan. Kecelaruan tindakan dasar akan membantutkan pentadbiran dan itu menjadi antara faktor terbesar mengapa kerajaan negeri di Melaka serta Johor dibubarkan,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Sanusi berkata sekiranya banyak kerusi yang dimenangi UMNO maka negara dan pentadbiran kerajaan negeri akan menjadi tidak stabil kerana mereka sibuk berebut kuasa dan boleh sesuka hati mengadakan pilihan raya seperti yang berlaku di Melaka dan Johor.

“Formula mudah untuk melihat kestabilan politik di Malaysia dan di negeri-negeri seluruh negara…Formulanya ialah bila kerusi UMNO kurang, sangat-sangat kurang sehingga kalau dia (UMNO) tarik diri pun kerajaan tak tumbang itu lah formula mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.

“Formulanya ialah dan saya sedar bila saya datang ke Johor ini… Kena kerusi UMNO sikit baharu aman kalau banyak kacau.

“Tuan-tuan tengok di Melaka, banyak kerusi dia (UMNO)… Akhirnya, dia das kawan dia sendiri (tumbangkan kerajaan sendiri) sehingga tumbang kerajaan Melaka.

“Kerusi dia (UMNO) disini Johor banyak juga, tumbang kerajaan negeri apabila dia (UMNO) sendiri tumbangkan buat PRN (Pilihan Raya Negeri) disaat rakyat kesusahan,” katanya semasa pelancaran jentera Pemuda Perikatan Nasional di Batu Pahat.

Sanusi menegaskan langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak diperlukan walhal diperingkat kerajaan pusat, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mengadakan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan pembangkang untuk mewujudkan kestabilan politik.

“PRN tidak diperlukan, diperingkat pusat UMNO memimpin boleh buat pula CSA dengan pembangkang.

“Tandatangan perjanjian dengan pembangkang, boleh… Pasal apa di Johor tidak boleh? Kerana di Johor bukan untuk mewujudkan kestabilan tapi tujuan PRN Johor adalah untuk menambah kerusi UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya lagi.

Menurut Sanusi, apabila UMNO memenangi banyak kerusi mereka boleh membuat keputusan sesuka hati mereka.

“Bila banyak kerusi, dia (UMNO) boleh tendang orang lain keluar… Itu sahaja,” katanya lagi.

Susulan kritikan tersebut, pemimpin UMNO termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membalas kritikan tersebut sebagai tidak wajar, malah menafikan UMNO menjadi punca politik negara tidak stabil.

BERITA BERKAIT
POPULAR