
Akaun Facebook Sinar Harian.
Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tunai janji menjadi bahan cemuhan pengguna media sosial yang rata-rata menyindir Perdana Menteri (PMX) tersebut.
Pengguna media sosial membalas komen menyindir ‘saya ulang’ dalam ruang komen artikel berhubung kenyataan Anwar yang berkata pemimpin politik perlu menunaikan janji dan tidak membuat janji bulan bintang kepada rakyat.
Untuk rekod, slogan ‘saya ulang’ sinonim dengan Anwar yang sebelum ini pernah berjanji untuk menunaikan harga petrol dalam tempoh 24 jam sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri, bagaimanapun sebaliknya yang berlaku apabila janji tersebut sehingga hari ini tidak ditunaikannya.
Tinjauan dalam akaun media sosial Facebook Sinar Harian yang menerbitkan artikel ‘Politik bukan sekadar janji tapi kena tunai – Anwar’ mendapati hampir beribu ditulis warganet yang membalas kenyataan Anwar tersebut di ruang komen.
Setakat jam 7 pagi tadi, hampir lebih lapan ribu komen pengguna media sosial dengan majoritinya menyindir dan mengkritik kenyataan dikeluarkan oleh Anwar tersebut.
“Penat weh hari-hari tekan emoji gelak, minyak dah turun ke,” tulis seorang pengguna Facebook bernama Abdullah Hafiz.
“Saya ulang,” tulis pengguna Facebook bernama Fais Al-banjari.
“Penat la gelak hari hari,” tulis pengguna Muhammad Fiqri.
Terdahulu, Anwar semasa menghadiri program di Teloi, Sik membidas pemimpin politik yang menunjukkan perilaku yang tidak baik termasuk mengeluarkan perkataan yang tidak sesuai.
Menurutnya, pengalaman luasnya termasuk pernah dipenjarakan menyaksikan dirinya matang dalam dunia berpolitik.
“Politik bukan sekadar janji, boleh janji apa pun boleh janji, langit bumi bulan matahari boleh janji semua tetapi kena tunai.
“Politik ni jadi menteri, timbalan menteri, menteri besar bukan berlawan pidato, pergi mana-mana berlawan bercakap, apa lagi mengata dekat orang, hari-hari bercakap marah dekat orang, maki dekat orang,” katanya dipetik dalam artikel Sinar Harian tersebut.
Anwar juga turut sekali lagi membuat dakwaan kononnya terdapat bukti pimpinan sebelum ini yang melakukan rasuah namun beliau tidak menamakan mana-mana pemimpin yang dimaksudkannya.
Malah, tuduhan sebelum ini terhadap Perikatan Nasional (PN) yang dibuat Anwar sehingga hari ini masih gagal dibuktikan walaupun berkali-kali mendakwa memiliki bukti berhubung isu tersebut.