
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin membidas cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan untuk tidak ‘memperalatkan’ cadangan penubuhan kerajaan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sudah tiba masanya untuk Ahli Parlimen Langkawi itu ‘berehat’ dan tidak menganggu pentadbiran sedia ada.
Menyifatkan apa yang terjadi kini disebabkan oleh Dr Mahathir, Hamzah berkata situasi seperti ini tidak akan berlaku sekiranya bekas Perdana Menteri itu tidak meletakan jawatan dahulu.
“Beliau mencadangkan adakan Mageran, dan bagi beliau ketuai. Tanya dekat beliau kalau beliau tak berhenti dahulu tak jadi pemerintahan itu kot.
“Jadi kalau kau dah berhenti jadi PM, cukup-cukuplah,” kata Setiausaha Agung Bersatu itu pada sidang media khasnya hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir ketika pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengusulkan cadangan penubuhan Mageran.
Pengerusi Pejuang itu yakin Mageran mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara kesan penularan pandemik Covid-19.
Dr Mahathir turut menawarkan dirinya untuk mengetuai Mageran, namun beliau dimaklumkan oleh Yangdi-Pertuan Agong bahawa penubuhan Mageran hanya boleh dilakukan jika ia diusulkan kerajaan.
Cadangan Dr Mahathir ini juga turut ditolak oleh UMNO dan blok pembangkang.
Mengenai isu pelarian dan vaksinasi Hamzah berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan setiap pelarian di negara ini dapat divaksinasi dalam usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.
Katanya, ketika ini pihaknya tidak mempunyai senarai sebenar jumlah pelarian yang kini berlindung dalam negara ini.
Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya hanya dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bahawa ada sejumlah 178,715 di negara ini.
“Kami sudah meminta dengan UNHCR supaya memberikan senarai (pelarian) namun setakat ini tidak ada senarai itu.
“NGO perlu berbincang dengan UNHCR. Mereka tidak sepatutnya bergaduh dengan saya tetapi memastikan UNHCR memberikan senarai nama pelarian itu,” katanya.