
Dr Mahathir dan Muhyiddin pernah bekerjasama sebelum ini dalam Bersatu.
PAS melihat kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkerjasama bakal memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) mendominasi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pengaruh Dr Mahathir tidak boleh dipandang remeh lebih-lebih lagi dalam hati pengundi Melayu dan Islam di negara ini.
“Apa yang penting kami daripada PAS, Bersatu, Gerakan dan rakan-rakan lain dalam PN ialah untuk mentadbir dan memberi sokongan sebanyak mungkin kepada rakyat, bukan sahaja Melayu Islam bahkan komuniti lain.
“Ini boleh dicapai dengan pelbagai cara antaranya kebersamaan kita dengan gerakan yang dijalankan oleh NGO termasuklah tokoh-tokoh negarawan dan orang perseorangan.
“Tentunya ini merupakan satu nilai tambah bukan sedikit kesannya terutama dalam kita menghadapi PRN tak berapa lama lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs) di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan kesediaan beliau untuk kembali menjalin kerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.
Pelawaan itu kemudiannyan disahut Muhyiddin selaku Pengerusi PN di mana beliau turut bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.