Tun Faisal cabar Zahid bersumpah isu klip audio, surat sokong Anwar

Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun  hari ini mencabar Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bersama-sama bersumpah atas nama Allah berkaitan isu klip audio yang tular.

Bekas timbalan ketua bahagian Putrajaya itu juga mengajak Zahid bersumpah berhubung surat sokongan yang ditandatangani beliau menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kumpulan pencipta fitnah telah membuat tuduhan yang mengatakan beliau terbabit mencipta klip audio membabitkan Zahid dan Anwar.

“Untuk menghentikan polemik dan perbuatan tuduh menuduh ini, saya akan bersumpah atas nama Allah bahawa saya tidak terlibat mencipta audio Zahid-Anwar dan tidak terlibat dalam penyebarannya.

“Melainkan hanya berkongsi dengan beberapa group WhatsApp bagi membuktikan saya benar dalam isu sokongan Zahid kepada Anwar dan mereka yang menafikan sokongan ini salah.

“Saya juga akan bersumpah bahawa Surat Sokongan Zahid terhadap Anwar juga benar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Tun Faisal turut menjemput Zahid untuk bersumpah juga atas nama Allah untuk menafikan suara dalam audio itu bukan suara beliau dan surat sokongan terhadap Anwar itu juga tidak benar.

“Mari kita lakukan majlis bersumpah ini di Surau Ar Rahman PWTC. Saya akan menghubungi Datuk Sumali untuk aturkan majlis ini,” katanya.

Semalam, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

POPULAR