Tukar PM pun gagal turun suhu politik, UMNO juga punca krisis Melaka

Walaupun sudah tukar Perdana Menteri baharu sekalipun, nampaknya suhu politik negara masih tidak turun dan kali ini UMNO juga menjadi punca sekali lagi krisis politik dalam negara. Kali ini tercetus di Melaka pula.

Sebelum ini, 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga jatuh dan kali ini dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Melaka menarik sokongan sehingga jatuh kerajaan Melaka pula.

Walaupun mantan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengambil langkah dengan membubarkan Parlimen selepas tindakan 15 MP UMNO diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan tetapi sebaliknya mengambil keputusan yang terbaik bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan.

Keputusan Muhyiddin tersebut ekoran penularan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara dan tidak mahu kemelut politik berpanjangan sehingga rakyat yang merana.

Berbeza dengan tindakan diambil Muhyiddin, nampaknya krisis politik di Melaka lebih parah apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri terpaksa diadakan hanya kerana kerakusan kuasa segelintir pemimpin UMNO.

Lebih memeningkan kepala, kekecohan politik di Melaka dicetuskan oleh pemimpin UMNO sendiri yang tidak berpuas hati dengan Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ketua kepada kumpulan yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka adalah Datuk Seri Idris Haron ( ADUN Sungai Udang) yang juga bekas KM sebelum ini semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Keputusan membubarkan DUN Melaka dilihat terlalu drastik pada ketika negara masih berdepan cabaran pandemik Covid-19, malah Muhyiddin walaupun memiliki pilihan untuk mengambil langkah sama di peringkat kerajaan Persekutuan sanggup melepaskan jawatannya supaya rakyat tidak menjadi mangsa.

Krisis sebelum ini dicetuskan oleh Zahid yang bersekongkol dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awalnya dan juga mengetuai kumpulan 15 MP UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

UMNO ketika itu tidak memiliki sokongan majoriti dan memerlukan sokongan parti komponen PN bagi melengkapkan majoriti, akhirnya Muhyiddin berlapang dada dengan melepaskan jawatannya serta mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebagai penggantinya.

Jika waktu itu Muhyiddin tidak memberi sokongan kepada Ismail Sabri sudah pasti kemelut politik tidak selesai dan berkemungkinan PRU akan dijalankan kerana blok pembangkang juga tidak memiliki majoriti yang diperlukan untuk meletak Anwar sebagai PM Kesembilan.

Tindakan pembubaran DUN yang dibuat oleh UMNO ini secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan penularan sama yang berlaku di Sabah selepas PRN berlangsung September tahun lepas.

Rakyat pasti tidak melupakan insiden pembubaran DUN Sabah yang juga berpunca daripada UMNO sebagai pencatur utama.

Selepas PRN Sabah, kes jangkitan Covid-19 mencatat peningkatan mendadak dan hampir seluruh negara berada dalam zon merah. Orang ramai marah dan tidak berpuas hati dengan langkah PRN Sabah tersebut diadakan dan kini episod sama kembali berulang.

Nampaknya, UMNO masih tidak puas walaupun kini PM baharu juga adalah dari parti mereka sendiri, kini Melaka pula menjadi contoh satu lagi kerakusan kuasa pemimpin UMNO sendiri.

Perkara yang berlaku di pusat nampaknya sudah merebak ke negeri, Zahid sudah memberi contoh tidak baik di peringkat atasan dan pemimpin bawahan kini mengikut langkah sama yang pernah dilakukan Presiden UMNO itu terhadap Muhyiddin.

Kini, tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya yang akan memutuskan sama ada PRN Melaka boleh dijalankan atau pun tidak ketika negara masih berdepan cabaran pandemik.

Nampaknya Titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua parti politik supaya meredakan suhu politik juga tidak diendahkan, adakah ini satu lagi penderhakaan UMNO kepada Institusi Raja-Raja sehingga sanggup mementingkan diri sendiri daripada rakyat.

Jika PRN Melaka bakal diadakan dalam masa terdekat, ia terpulang kepada pengundi di Melaka bagi membuat keputusan terbaik untuk terus kekal dengan UMNO atau menendang parti itu secara total nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR