
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan jentera pilihan raya peringkat Parlimen Bagan Datuk - kawasan yang diwakilinya sejak 1995 - hari ini (16 September 2022).
Peluang bagi tujuh lagi parti politik untuk menjadi anggota komponen Barisan Nasional (BN) atau sekutu gabungan itu terbuka luas apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak ahli UMNO membuka minda menerima mereka.
Pengerusi BN itu berkata parti-parti lain mempunyai kebebasan untuk menyertai gabungan politik yang lain, termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita ada lapan parti-parti rakan BN. Kita ada tujuh lagi yang mahu menyertai BN. Adakah kita tidak membuka minda untuk memberi peluang kepada mereka untuk menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
“Kenapa mereka (parti) yang mempunyai kebebasan untuk menyertai gabungan yang lain. Sekarang ini ada enam parti gabungan… BN, PH, PN, GPS (Gabungan Parti Sabah), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan GTA (Gerakan Tanah Air),” katanya sambil menyifatkan GTA sebagai “Gila Talak Association”.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan jetera pilihan raya peringkat Parlimen Bagan Datuk – kawasan yang diwakilinya sejak 1995.
Bagaimanapun, Zahid tidak menyatakan nama parti-parti yang memohon menjadi anggota BB atau rakan BN.
Sebelum ini, Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan bekas ahli PKR yang juga Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin memohon menyertai BN tetapi sehingga kini Dewan Tertinggi BN belum membuat keputusan, menerima atau menolaknya.
Mengulas lanjut, Zahid berkata sekarang ini pengundi-pengundi mempunyai banyak pilihan jika semua gabungan itu meletakkan calon mereka bertanding di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Oleh itu, beliau menggesa ahli UMNO bekerja kuat bagi memastikan kejayaan calon BN pada PRU-15 akan datang.
“Kalau kita bekerja kuat… kalau kita bekerja dengan ikhlas dan rekod selama 62 tahun kita mentadbir negara ini pengundi-pengundi akan memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN yang akan kita ketengahkan,” katanya.
Menurutnya satu langkah yang luar biasa perlu dilakukan pada PRU-15 ini kerana semakin hari pengundi muda dan mereka yang pertama kali akan mengundi, semakin bertambah.