
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Laporan sebuah media tempatan mendakwa PAS akan menjadi sebahagian dalam kerajaan campuran diambil luar konteks, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS itu berkata laporan oleh media berbahasan Inggeris itu menyimpang daripada maksud asal ucapannya yang disampaikan semasa perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan memberi gambaran seolah-olah parti itu akan menyokong kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya merujuk kepada berita yang dilaporkan oleh NST bertarikh 19 Oktober 2023 yang bertajuk “Pas Muktamar: ‘Party will be part of unity govt’ (Parti (PAS) akan menjadi sebahagian dari Kerajaan Perpaduan”.
“Di awal pelaporan berita, dinyatakan ‘PAS has expressed its confidence in being part of the federal government, after Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s reported invitation to the Islamist party’.
“Pelaporan berita ini sangat jauh dari konteks ucapan saya dalam perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia semalam,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan HarakahDaily.
Tegasnya lagi, PAS kekal komited dan teguh bersama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menimbang untuk menyokong kerajaan campuran.
“Saya ingin menegaskan bahawa, PAS menghormati dan berpegang teguh dengan permuafakatan politik bersama rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN),” ujarnya lagi.
Menurut Tuan Ibrahim, pendirian menolak kerjasama dengan kerajaan campuran disebabkan semangat setiakawan sesama parti dalam PN dan tidak akan mengkhianati pengundi untuk bersekongkol dengan DAP.
“PAS menolak pelawaan menjadi komponen Kerajaan MADANI dengan asas istiqamah bersetia kawan serta tidak akan mengkhianati janji kepada pengundi PAS-PN dan tidak akan bergabung dengan DAP dan Anwar Ibrahim pasca PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).
“Keputusan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri jelas bahawa rakyat bersama PAS dan PN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga menasihati pengamal media agar membuat laporan tepat dan tidak sekadar hanya cuba mencetuskan polemik.
“Saya menyeru agar etika kewartawanan terus dipelihara agar setiap berita itu dilaporkan dengan telus dan tepat,” ujarnya.