
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki selepas mendedahkan gambar pertemuan tertutup dengan pemimpin tertinggi parti itu yang tular baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS itu berkata persetujuan sudah dicapai sebelum ini supaya pertemuan tersebut tidak didedahkan tetapi nampaknya Asyraf yang tidak terbabit dalam mesyuarat tersebut sengaja menularkan gambar semasa perbincangan itu berlangsung.
“Tak betul, dia merapu! Dia (Asyraf Wajdi) tak terbabit pun dalam mesyuarat itu. Bahkan sudah diingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil sebab pertemuan tertutup,” katanya dalam satu hantaran menerusi ciapan di Twitter.
Tuan Ibrahim juga menafikan dakwaan Asyraf kononnya Bersatu menawarkan 47 kerusi sekiranya parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkongsi gambar pertemuan membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Tuan Ibrahim.
Asyraf menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu berlangsung sehari sebelum PAS membuat keputusan kekal bersama BERSATU-PN dengan parti itu turut memaklumkan ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu jika menyertai PN.
“Dia (Asyraf Wajdi) mungkir janji. Hanya empat orang yang tahu perincian perbincangan.
“Tawaran 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan itu,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dengan keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.