TOLAK PEMIMPIN ROSAK MORAL, RASUAH, PEMFITNAH: KHUTBAH

November 18, 2022 · Politik

Rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, disaran memilih pemimpin yang bermoral tinggi, amanah, bertanggungjawab kepada rakyat dan negara, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), esok (19 November 2022).

Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menerusi Khutbah Jumaat hari ini (18 November) memetik ayat 42 surah al-Maidah yang menjelaskan mengenai orang-orang yang wajib dijauhi dan tidak dipilih untuk menjadi pemimpin iaitu pemimpin yang gemar berbuat fitnah dan yang suka memakan sumber haram seperti melakukan rasuah dan pecah amanah.

“Allah SWT memerintahkan agar kita menghukum mereka yang berperangai dan bersifat demikian dengan seadilnya, dengan berpaling daripada mereka, iaitu tidak sama sekali berurusan dengan orang sebegini, jauh sekali daripada mengangkat mereka menjadi pemimpin.

“Dalam suasana pilihan raya, menghukum dengan adil boleh dilakukan dengan tidak lagi memilih orang-orang yang terlibat dan terpalit dengan rasuah dan perbuatan pecah amanah,” kata khutbah bertajuk ‘Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri’.

PRU-15 memberikan hak kepada lebih 21.1 juta pengundi untuk memilih pemimpin daripada 39 parti politik bertanding, membariskan 945 calon, di samping 108 calon Bebas, bagi mentadbir urus negara dan menentukan nasib 32.7 juta rakyat Malaysia.

Khutbah mengingatkan rakyat bahawa Islam sangat memberi penekanan kepada soal kepimpinan, kerana nasib buruk atau baik rakyat dan negara ditentukan oleh pemimpin yang digelar ulil amri.

“Kerana itu memilih pemimpin yang layak serta diyakini mampu memimpin dengan baik adalah suatu kewajipan.

“Rakyat mengharapkan, pasca pilihan raya, akan terbentuk sebuah kerajaan yang dapat memenuhi harapan rakyat; merangkumi menyediakan peluang pekerjaan, peluang pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam yang berkualiti, perumahan rakyat, jaminan bekalan barang makanan, kos sara hidup yang rendah, inflasi yang terkawal dan pelbagai lagi.

“Rakyat mahu melihat nilai ringgit kembali kukuh, beban hutang dan tanggungan negara berjumlah RM1.4 trilion dapat dikurangkan, rasuah dihapuskan dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa,” kata khutbah itu.

Mimbar Jumaat juga mengingatkan rakyat, khususnya umat Islam bahawa sudah tiba masanya untuk mengubah yang buruk kepada yang baik, dan langkah untuk menjernihkan air yang keruh.

“Betulkan yang biasa, dan biasakan diri dengan yang betul. Pilihan yang dilakukan akan menentukan kehidupan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang. Mimbar dengan ini memperingatkan perkara-perkara berikut:

“Pertama: Mengundi ialah tanggungjawab rakyat pada negara. Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan kertas undi kepada setiap pengundi. Kertas undi yang dicetak melibatkan kos yang dibayar daripada duit pembayar cukai. Jangan disia-siakan kertas undi yang telah disediakan untuk kita; apatah lagi kerajaan pula bermurah hati mengisytiharkan hari ini dan hari esok sebagai hari cuti untuk memudahkan rakyat mengundi.

“Sempurnakan rukun kenegaraan seorang rakyat; sempurnakan tanggungjawab fardu kifayah seorang Muslim; ikhlaskan niat menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk pergi mengundi agar dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

“Kedua: Sedarkan pengundi bahawa kita sebenarnya dalam proses mahu melantik seorang pemimpin untuk mengurus negara. Lazimnya, ketika mahu melantik seorang pengurus, kita wajib bersifat teliti, memastikan orang yang dilantik memiliki keupayaan untuk mengurus negara dengan baik dan berkesan serta dihormati. Siapakah antara calon yang berupaya mengangkat martabat dan memakmurkan negara?

“Siapakah antara calon yang memiliki imej bersih dan bebas daripada rasuah? Siapakah antara calon yang memiliki kekuatan dan bukan boneka atau patung yang begitu lemah dan tidak memiliki kekuatan jati diri lalu terlalu mudah tunduk kepada tekanan?

“Siapakah antara calon yang berupaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur, yang dihormati di peringkat antarabangsa? Perkara-perkara tersebut hendaklah dijadikan panduan ketika membuat pilihan,” kata JAIP.

Khutbah Jumaat juga mengingatkan supaya pengundi memilih calon yang memiliki peribadi jujur dan ikhlas, memiliki akhlak dan budi pekerti mulia, berilmu dan berpengalaman, dan mengamalkan gaya hidup sederhana

Khutbah Jumaat itu juga mengajak rakyat memilih:

Pertama: sifat al-qawi, bermaksud berkemampuan, berkebolehan, berkepakaran, dan mahir dalam melaksanakan tugas dan

Kedua: sifat al-amin, bermaksud amanah, bertanggungjawab dan berintegriti, tidak menyeleweng, tidak khianat, dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan hingga bersedia menggadaikan maruah diri dan maruah bangsa.

Ketiga: Buktikan azam memerangi rasuah melalui kertas undi kita dengan menolak dan tidak memberikan undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah. Buktikan tekad kita menolak rasuah, dengan tidak membenarkan diri kita boleh dibeli dengan sogokkan wang hingga kita memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat yang mengandungi wang.

Keempat: Setelah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, walau apa jua keputusan Pilihan Raya ke-15, ummah wajib menerimanya dengan hati yang terbuka serta reda dengan ketentuan Ilahi.

Pada masa sama, khubah Jumaat turut mendokan perjalanan jutaan rakyat Malaysia yang pulang ke tempat masing-masing untuk mengundi esok, selain memohon dikurniakan cuaca yang baik.

“Ya Dzal Jalaali wal Ikram!, jadikanlah kami antara hamba Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Ya Maalikal Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.”

Teks penuh khutbah Jumaat JAIP

Berita berkaitan
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
Banjir: Kelantan dan Perak catat peningkatan mangsa dipindahkan
December 17, 2023· Isu semasa
Gesaan DAP supaya pilihan raya PBT diadakan di KL, pemimpin UMNO membisu
December 17, 2023· Politik
Popular
Anak Bung Moktar dilantik bendahari Pemuda UMNO
March 24, 2023
Kes Covid-19 tinggi tapi blok pembangkang masih desak buka Parlimen
May 27, 2021
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024
Bersatu tangguh pemilihan bahagian, MPT kecuali cawangan
May 13, 2023
Lagi Politik terkini
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024 · Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024 · Politik
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok