Tolak kerjasama, UMNO sebenarnya rela Melaka diperintah PH dan DAP

Langkah UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menolak kerjasama dengan rakan parti di kerajaan pusat adalah bukti kerelaan mereka untuk melihat blok pembangkang, Pakatan Harapan dan DAP memerintah negeri tersebut.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh lebih selesa untuk menyerang rakan parti PAS dan Bersatu yang membentuk bersama kerajaan pusat tetapi tidak pula mengkritik lawan mereka seperti PH dan DAP.

Ketua Penerangan Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim membidas Zahid dan Rauf yang didakwanya seakan tunduk dan patuh kepada cikgu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

“Maka tidak hairan UMNO dari Presidennya, si Zahid Hamidi hingga ke ‘kucing’ UMNO Melaka, Ab. Rauf Yusoh begitu beriya-iya sanggup bekerjasama dengan PH, mengapa kucing? Kerana UMNO di bawah Zahid dan UMNO Melaka keduanya Rauf dan Idris cukup selesa, tunduk dan patuh dengan tuan mereka Anwar dan Lim Guan Eng. Langsung tidak seperti ‘singa’.

“Kerana itu serangan lebih dihalakan kepada ‘rakan’ kerajaan Perikatan Nasional termasuk PAS, ternyata ‘Muafakat Melayu-Islam’ yang direncana UMNO hanyalah demi kuasa dan memperkuda serta memperbodohkan orang Melayu semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ashraf juga mempertikai kenyataan dikalangan pemimpin UMNO yang sentiasa berubah-ubah, ia sekaligus menunjukkan mereka tidak mempunyai keyakinan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama dengan parti lain.

“Bukan itu sahaja, kenyataan bekerjasama atau tidak bekerjasama sentiasa berubah-ubah. Seperti tidak yakin sama ada boleh menang atau tidak di PRN Melaka jika tanpa kerjasama dengan parti lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ashraf mengingatkan bahawa kejatuhan kerajaan UMNO adalah berpunca daripada pergelutan kuasa sesama mereka yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban.

“Boleh dikatakan lucu apabila Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) menyatakan parti beliau dalam bahaya kerana ada pihak cuba bunuh UMNO.

“Bendahari UMNO yang juga pernah terpalit dengan kes rasuah RM2 juta yang didakwa derma politik untuk pilihanraya kecil pada ketika itu, tiba-tiba lupa bahawa BN kalah di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (akibat saingan 3 penjuru) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan baru-baru ini UMNO dijatuhkan di Melaka oleh UMNO sendiri yang menyebabkan DUN terbubar,” ujarnya lagi.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR