
Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Fadli Ghani.
Slogan keadilan, amanah dan integriti yang dilaungkan Pakatan Harapan (PH) selama ini hanyalah kepura-puraan semata-mata, kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Fadli Ghani, sambil mengingatkan rakyat Malaysia menolak gagasan ‘khemah besar’.
Menurutnya PAS Selangor berpandangan bahawa PH bukan sahaja tidak boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia, bahkan ia juga tidak layak dijadikan rakan politik oleh mana-mana partu yang ada di negara ini.
Katanya ketegasan yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan kenapa PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan pakatan politik perasuah dan tidak moral PH, wajar disokong.
“PAS berpengalaman sebagai sekutu dan rakan tahaluf kepada parti-parti yang menganggotai PH, termasuk AMANAH yang merupakan serpihan kepada PAS.
“Hubungan politik di antara PAS dengan DAP dan PKR telah terbentuk sejak 1998, dan PAS telah masak dengan kerenah-kerenah mereka sepanjang tempoh kerjasama politik itu, sehingga ia terputus pada 2015.
“Pengalaman yang dilalui oleh PAS bukanlah cerita dongeng atau khayalan politik, tetapi ia adalah politik realiti yang dilalui oleh PAS dalam mengenal hati budi PH,” katanya dalam kenyataan hari ini (17 September 2022).
Mohd Fadli berkata PH memiliki kelakuan dan tabiat buruk politik dalam memusuhi Islam, meruntuhkan sendi-sendi utama negara serta merosakkan integriti politik dan pentadbiran awam.
Oleh itu katanya apa yang penting bagi rakyat Malaysia ialah seluruh slogan keadilan, amanah dan integriti yang mereka laungkan selama ini hanyalah pseudo semata-mata.
“Sikap ‘liar’ pemimpin PH dalam membentuk kerjasama politik dan pembohongan mereka kepada rakyat ketika menjadi kerajaan adalah dosa yang sukar dimaafkan.
“Pembodohan yang cuba mereka lakukan kepada rakyat sebenarnya bukan satu bentuk pemulihan terhadap keadaan politik negara, tetapi ia adalah proses meruntuhkan negara yang cuba dilakukan secara terancang,” katanya lagi.
“Pengalaman politik bersama PH tiada bezanya dengan pengalaman menyaksikan ‘tikus membaiki labu,’ bahkan lebih teruk daripada itu.”
Menurutnya PAS Selangor melihat bahawa PH bukan sahaja tidak boleh dijadikan rakan politik, bahkan ia perlu ditolak oleh seluruh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.