
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bersama dua Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta Setiausaha Aging UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, hadir pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini (11 Januari 2023). - Gambar UMNO Online
UMNO – kononnya parti keramat bangsa Melayu – memuji DAP – parti yang sebelum ini disifatkannya paling rasis – kerana tidak bermuka-muka dan berpura-pura dalam berkawan.
Pujian itu diberikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini (11 Januari 2023).
Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu adalah kali pertama dalam sejarah UMNO menjalin hubungan kerjasama rapat dengan DAP yang sebelum ini dikritik dengan pelbagai cara.
Untuk rekod, PAS dan Bersatu sebelum ini telah bekerjasama dengan DAP tetapi menarik diri setelah mengetahui sentimen parti dikendalikan anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Dalam pada itu Mohamad berkata sekiranya UMNO bersama dengan Perikatan Nasional (PN), parti itu hanya menjadi pemain ketiga yang berkongsi kepentingan penduduk yang sama.
“Kita memang kenal pendirian mereka (DAP). Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setia kawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura.
“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan AMANAH. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan,” katanya.
Pada 2019 lalu, Mohamad atau dikenali juga Tok Mat adalah antara pemimpin UMNO yang kuat menentang DAP hingga mendakwa parti itu adalah yang paling rasis di Malaysia.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa selama puluhan tahun UMNO bertentangan DAP, tetapi masih gagal menarik sokongan orang Melayu.
“Tetapi, adakah dengan pendirian sedemikian (menentang DAP), orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita. Dan menjadikan kita semakin kuat, dan semakin berpengaruh, dengan pendirian sedemikian?
“Keputusan beberapa pilihan raya umum lepas, jelas menampakkan bahawa, di sebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat. Malah merosot.
“Kerana faktor yang mendorong orang Melayu, menyokong atau menolak kita, ternyata bukanlah, pendirian kita terhadap DAP. Sebaliknya, ia bergantung kepada kemampuan kita, meyakinkan orang Melayu, bahawa kepentingan bangsa, dapat diperjuangkan dengan lebih baik, dengan UMNO.
“Termasuklah Kerajaan yang kita pimpin itu bebas rasuah. Dan tiada penyalahgunaaan kuasa. Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita. Bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini,” katanya lagi.