
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Konvensyen Wanita Barisan 2022, di Kuala Lumpur, hari ini (14 Ogos). - Gambar FB
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau bersedia melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu gagal membentuk kerajaan seterusnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Beliau menegaskan bahawa PRU-15 adalah “pertempuran hidup atau mati” untuk BN.
“Keutamaan kita ialah pilihan raya akan datang. Kita mesti menang. Kalau kalah, kalau nak jawatan timbalan pengerusi ambillah.
“Barisan mesti menang. Jika tidak, sukar untuk kita kembali. Ini adalah peluang terakhir untuk membuktikan kita boleh merampas semula Putrajaya,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen Wanita Barisan 2022, hari ini (14 Ogos).
Untuk rekod, tidak ada pemilihan untuk merebut jawatan Timbalan Pengerusi atau Pengerusi BN yang biasanya disandang oleh parti komponen terbesar dalam gabungan itu.
Pengarah Pilihan Raya BN itu juga mengingatkan parti komponen dan penyokong bahawa PRU akan datang tidak seperti yang lain kerana mereka akan berdepan beberapa gabungan, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ berkata momentum daripada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri baru-baru ini memberi harapan kepada BN untuk menang.
“Jika ini adalah larian 100m, maka hanya tinggal 15m lagi. Kita perlu pecut ke garisan penamat,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook BN.
Selain skandal 1MDB yang belum reda, BN dan UMNO kini berdepan pula isu kontrak pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion sejak 2011, dengan RM6 bilion telah diberikan tetapi sehingga tahun ini tiada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan.
Sementara itu, Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meminta kuota 30 peratus daripada calon PRU-15 diberikan kepada sayap wanita.
Beliau yang memetik Pilihan Raya Negeri Johor, berkata sayap wanita itu telah menyumbang kepada kemenangan penting kepada BN.
“Saya yakin gesaan untuk peruntukan 30 peratus kerusi untuk wanita pada PRU-15 akan disokong oleh pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),” katanya dalam ucapan penggulungan pada konvensyen berkenaan.
“Tidak terlalu banyak untuk mendesak kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan setiap parti politik mesti mengemukakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita bagi melayakkan mana-mana parti bertanding dalam PRU,” katanya.