
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Jika sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023, kini Datuk Seri Mohamad Hasan juga berkongsi pandangan sama.
Timbalan Presiden UMNO itu juga memberi pandangan PRU-15 sesuai diadakan sekitar Oktober hingga sebelum hujung November depan, malah mencadangkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan belanjawa lebih awal kali ini.
“Ini pandangan saya sendiri dan bukan Perdana Menteri yang cakap. Saya mencadangkan supaya kita awalkan pembentangan bajet untuk mengelak PRU diadakan pada sekitar hujung November dan Disember kerana selalunya berlaku banjir ketika itu.
“Lazimnya, pembentangan bajet akan dibuat pada minggu ketiga Oktober. Jika kita awalkan pembentangan bajet kepada minggu pertama dan kemudian membubarkan Parlimen, ia akan mengambil masa dalam satu bulan setengah untuk PRU diadakan.
“Jadi, ia masih berada pada awal dan pertengahan November. Banjir pun dijangka belum lagi berlaku pada waktu itu. Namun, jika buat pada awal Oktober pun tiada masalah,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Mohamad atau Tok Mat terdahulu bertemu dengan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Perlis di Kangar.
Mengulas lanjut mengenai gesaan Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat mahu menyambung Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Mohamad berharap ia tidak disambung supaya UMNO tidak terikat dengan sebarang perjanjian seperti sebelum ini.
“Kita faham berhubung tarikh 30 Julai ini dan menghormatinya. Kita akan melihat dulu perkembangannya sebelum merangka strategi. Sebelum ini, memanglah kita mahu PRU diawalkan tetapi disebabkan adanya MoU itu, maka kita menghormatinya.
“Namun, kita berharap MoU itu tidak disambung agar kita boleh bebas daripada ikatan MoU berkenaan. Jika kita sudah bebas. maka senanglah kita memberi pandangan kepada Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk merangka strategi parti yang seterusnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus mendesak agar PRU-15 diadakan segera.
Dalam catatan Facebooknya, Zahid berkata bukan UMNO sahaja yang mahu Parlimen dibubarkan dan memberi laluan kepada pilihan raya akan datang.
Beliau mendakwa bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman juga mahu PRU-15 diadakan segera supaya mandat sah demokrasi perlu dikembalikan” kepada rakyat.
Zahid menulis: “Kerajaan (sekarang) pula tidak stabil kerana terdapat pelbagai watak dan parti dan ini tidak baik untuk negara.”
“Beliau (Rashid) menambah ekonomi semakin teruk dan pelabur lari,” kata Zahid sebelum ini.
UMNO pada Mac lalu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu membuat ketetapan supaya “Top 5” berbincang tarikh PRU-15, namun sehingga hari ini tidak pernah berlangsung perbincangan sesama pemimpin tertinggi parti itu.
Utusan Malaysia mendedahkan tidak ada perbincangan “Top 5” pernah diadakan sejak Mac lalu dengan memetik laporan daripada sumber dalaman parti, ia sekaligus mencetuskan spekulasi berhubung keretakan dalam parti tersebut.
Lima pimpinan tertinggi UMNO itu ialah Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Mohamad dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.