Tindakan Zahid desak PM berundur langgar ketetapan PAU, tak endah pandangan ahli MT

UMNO mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi secara maya pada 7 Julai yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diumumkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) yang diadakan pada Mac lalu, ia ekoran tindakan mendesak Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berundur.

Sumber memberitahu, semasa mesyuarat secara maya tersebut berlangsung seorang Ahli MT bertindak menentang usul dibawa oleh Zahid untuk mendesak PM meletak jawatan kerana ia bertentangan dengan ketetapan diputuskan semasa PAU lalu.

Bagaimanapun, amaran diberikan oleh Ahli MT tersebut tidak diendahkan Zahid dan Ahli MT yang cenderung menyokongnya pula mempertahankan usul yang dibawa dan meluluskannya.

Menurut sumber, Ahli MT yang membantah usul dibawa Zahid itu secara terbuka dalam mesyuarat berkata tindakan tersebut sama sekali melanggar ketetapan PAU, malah menyifatkan tindakan untuk melanggar ketetapan yang diputuskan semasa perhimpunan itu lebih kepada mempunyai niat dan muslihat demi kepentingan peribadi seseorang.

“Ini keputusan PAU untuk tarik diri daripada menyokong kerajaan, ia tidak disebut kita nak tarik sokongan daripada PM… PAU tidak berkata kita tarik sokongan daripada PM tapi tarik sokongan daripada kerajaan.

“Ini yang cuba dibawa usul ini, ia salah bertentangan dengan ketetapan PAU,” kata sumber memberitahu merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang Ahli MT semasa mesyuarat itu.

Jelasnya, tindakan Zahid membawa usul mendesak PM berundur itu juga adalah usaha berterusan yang sedang dirancang oleh Zahid selepas ketetapan PAU lalu gagal menghasut pemimpin UMNO untuk menjatuhkan kerajaan.

Untuk rekod, semasa PAU lalu ketetapan yang diputuskan adalah menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP selain memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Parlimen dibubarkan nanti.

Menurut sumber, Zahid bagaimanapun meneruskan dan meluluskan usul menarik sokongan terhadap PM yang diumumkannya semasa perutusan pada Rabu lalu.

Pada Rabu, Zahid selepas selesai Mesyuarat MT mengumumkan keputusan parti yang menuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

POPULAR