
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.
Kerajaan campuran bersikap pendendam apabila masih cuba menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, kata PAS.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan mengambil panduan titah Pemangku Raja Pahang baru-baru ini yang menggesa peruntukan sama rata diberikan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kedudukan mereka.
“Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil panduan dan semangat dari titah Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah agar wakil rakyat pembangkang juga diberi peruntukan yang adil.
“Ini merujuk kepada titah Baginda dalam Sidang Dewan Negeri Pahang bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang berlangsung baru-baru ini.
“DYMM Tengku Hassanal dalam titah Baginda menyatakan bahawa dalam tempoh 66 tahun ini sepatutnya semua pihak telah matang dan menjadi kerajaan yang meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Jerantut itu berkata tindakan kerajaan campuran yang menyekat peruntukan kepada pembangkang hanya mengulangi sikap pendendam mereka dan dilihat bercakap tidak serupa bikin.
“Tindakan mengenepikan peruntukan buat wakil rakyat pembangkang oleh kerajaan Perdana Menteri ke-10 (PMX) selama ini hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat dan ianya amat bertentangan dengan agenda yang pernah PMX perjuangkan semasa menjadi Ketua Pembangkang,” katanya lagi.
Tegasnya, peruntukan kepada pembangkang perlu diberikan tanpa syarat.
“Kami mengulangi gesaan ini kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan hanya survival politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang sah dipilih oleh rakyat.
“Peruntukan juga perlulah diberikan tanpa syarat. Hormatilah pilihan rakyat,” ujarnya lagi.