
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Pendirian Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menolak konsep “Khemah Besar” seperti mahu berlawan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Rafizi mengeluarkan kenyataan terbuka yang memberi isyarat menolak konsep “Khemah Besar” semalam selepas menyenaraikan 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pilihannya, ia bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati DAP dan Parti Amanah.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan pendirian Rafizi tersebut yang dilihatnya seperti berlawanan dengan Presiden PKR, Anwar walhal konsep “Khemah Besar” sudah dimuktamadkan semasa perbincangan sebelum ini.
“Itu ialah keputusan yang dibuat oleh PH yang mana konsep khemah besar adalah ingin menyatupadukan parti pembangkang yang tulen.
“Itu dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar sewaktu pemukiman di Port Dickson. Itu faktanya. Kalau nak buat keputusan yang berlawanan, bermakna dia lawan Anwar lah,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga tidak faham dengan pendirian Rafizi tersebut berkata berkata, tiada sebab menolak konsep khemah besar kerana ia adalah persetujuan bersama dalam PH.
“Apa pasal nak tolak (khemah besar)? Kita nak bawa kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri itu berjaya. Kita nak semua parti pembangkang bersatu.
“Yang mana ingin kerjasama, kita pelawa. Yang tidak mahu, kita ucapkan terima kasih dan kita hormati,” katanya.
Semalam, dalam satu kenyataan di laman Facebook, Rafizi ‘menawarkan’ 25 calon MPP yang menurutnya mampu memainkan peranan penting dan melonjakkan semula PKR yang semakin ditolak oleh pengundi tua dan muda.
Rafizi mengingatkan ahli supaya memilih calon-calon yang dengan jelas menolak konsep khemah besar, sebaliknya perlu membina kekuatan sendiri.
“Kita wajar memilih calon-calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota Keadilan di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu Keadilan membina kekuatan sendiri. Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar.
“Pilih calon-calon yang mempunyai kepakaran masing-masing yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti.
“Kita wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau tidak ada sebarang idea untuk menambahbaik parti,” katanya.