
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Timbalan Presiden UMNO yang juga hanya Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan terus dikritik susulan kenyataan beliau bahawa menteri-menteri UMNO tidak menunjukkan prestasi memuaskan dalam kerajaan.
Terbaharu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan cuba membuat tanggapan negatif terhadap menteri-menteri UMNO apabila menuduh mereka tidak menunjukkan prestasi yang menyerlah.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar juga menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu tidak tepat kerana semua menteri UMNO telah berusaha menunjukkan prestasi terbaik.
“Saya fikir kenyataan Tok Mat itu sendiri tak tepatlah. Dia tak boleh ambil dari angle sebagai orang yang di luar.
“Kami tahu apa yang kami buat, dan kami berusaha, sebab yang penting ialah rakyat,” katanya ketika mengulas kenyataan Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat Hasan ketika merasmikan persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam tadi.
Dalam ucapannya malam tadi, Tok Mat Hasan berkata prestasi UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak menyakinkan, ia walaupun parti itu kembali menjadi dominan dengan pelantikan Naib Presiden partinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Itulah dia, kedudukan sebenar UMNO dan prestasi kerajaan waktu ini. Bagaimanalah UMNO dapat menjadi wakil yang berkesan kepada orang Melayu jika sebeginilah kedudukan dan prestasi UMNO dalam kerajaan,” kata Mohamad.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kritikan Tok Mat Hasan dengan mengatakan prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menyakinkan adalah tidak wajar sama sekali.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata kenyataan itu sebagai berat serta mengelirukan dan mendesak penjelasan berhubung kritikannya itu dengan memberi fakta yang lebih tepat.
Mengulas lanjut Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Terap mengingatkan Mohamad bahawa setiap menteri tahu tanggungjawab dan tugas masing-masing
“Tak wajarlah dia kata begitu kepada menteri,” katanya.