Timbalan Ketua Pemuda PAS muat naik sumpah baiah calon pilihan raya

“Dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi watallahi, untuk meletakkan jawatan dari menjadi ahli dewan negeri / dewan rakyat tersebut apabila saya keluar atau dipecat dari parti.”

Itu adalah antara ungkapan dalam lafaz baiah semua ahli PAS yang telah dipilih menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya yang dimuat naik oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Afnan Hamimi Taib Azamuddin.

Beliau memuat naik lafaz itu jam 5.15 petang tadi (14 Mac 2022), menyusul pengumuman Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang keluar daripada PAS hari ini.

Dalam notanya, Afnan Hamimi berkata itu adalah lafaz baiah semua calon PAS yang telah dipilih menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya.

“Lafaz baiah ini dilafazkan di dalam majlis baiah yang diadakan sebelum penamaan calon, di hadapan saksi-saksi tertentu dalam kalangan pimpinan tertinggi.

“Moga Allah melindungi kita semua daripada penyakit-penyakit hati, memberi ketabahan menempuh ujian dan mendorong kita untuk terus istiqamah,” katanya.

Lafaz baiah yang dimuat naik beliau berbunyi:

Bahawa saya (sebut nama sendiri) berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul-Nya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Dan bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi Wabillahi Watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli Dewan Negeri / Dewan Rakyat, maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.

Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut setelah saya meletak jawatan atau dipecat adalah haram.

Dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi watallahi, untuk meletakkan jawatan dari menjadi ahli dewan negeri / dewan rakyat tersebut apabila saya keluar atau dipecat dari parti.

Wallah ‘ala ma aqulu syahid, dan Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini.

Terdahulu, Khairuddin pada sidang media di bangunan Parlimen mengumumkan pendiriannya keluar daripada PAS, berkuat kuasa serta-merta, dan akan menyerahkan semua elaun Ahli Parlimen kepada parti itu. Berita berkaitan

Menurutnya tindakannya itu selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan PAS iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dengan ia sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen, pada jam 2.30 petang tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR