Tidak lagi percaya Anwar, DAP sedia pertimbang tawaran Ismail Sabri

DAP akhirnya belajar daripada kesilapan kerana terlalu percayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sedia menimbang tawaran kerjasama Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata langkah tersebut bagi memastikan usaha menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat yang terjejas akibat krisis kesihatan Covid-19 dapat diatasi, ia walaupun sebelum ini dengan angkuhnya menolak pelawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, DAP sanggup mempertimbangkan tawaran untuk kepimpinan pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Asalkan bukan sekadar tangkap muat dan menjadi rubber stamp kerajaan semata-mata. Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan Lim Guan Eng.

Ismal Sabri dalam ucapan sulungnya hari ini berkata kerajaan menawarkan kerjasama itu melalui penyertaan dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Kata Ismail Sabri Yaakob ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua pihak melupakan perbezaan demi demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil juga berkata Pakatan Harapan belum membincangkan tawaran berkenaan tetapi perbincangan harus diadakan supaya ia dapat diperincikan.

“Saya berpandangan Perdana Menteri perlu mengadakan perbincangan atau pertemuan segera dengan Anwar dan kepemimpinan pembangkang untuk memperinci cadangan berkenaan, sebelum kami memutuskan sama ada akan turut serta atau pun tidak,” katanya dipetik dalam laporan media.

Sebelum ini, Muhyiddin juga membuat tawaran sama tetapi ditolak mentah-mentah oleh blok pembangkang yang terlalu teruja untuk menggantikan PM baharu dengan Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan majoriti yang diperlukan untuk menjadi PM sebaliknya Ismail Sabri mengatasinya dengan jumlah 114 Ahli Parlimen menyokongnya.

Susulan itu, penyokong pembangkang menyalahkan Anwar dan pemimpin pembangkang kerana bertindak menolak tawaran awal oleh Muhyiddin serta menjadi punca UMNO kembali dominan menguasai pentadbiran kerajaan pusat.

BERITA BERKAIT
POPULAR