Tidak dilantik semula jadi MB, Hasni intai bertanding kerusi Parlimen

Susulan tidak dilantik semula menjadi Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad memberi isyarat mengintai untuk bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Hasni sebelum ini semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadikan ‘poster boy’ untuk Barisan Nasional (BN) dan dijanjikan dilantik semula menjadi MB jika menang, bagaimanapun hasratnya tersebut tidak menjadi kenyataan selepas orang lain yang dilantik.

Berhubung niatnya untuk bertanding kerusi Parlimen, Hasni berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

“Itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan, saya bersedia untuk berkhidmat,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini

Beliau terdahulu mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri di ibu pejabat UMNO Johor.

Selain tidak dilantik semula, Hasni juga tidak berada dalam senarai barisan kerajaan negeri baharu yang dipimpin MB Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Namun, Hasni mengambil pendekatan jiwa besar dan mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang baharu.

“Saya tidak akan ambil langkah-langkah untuk menjadi Menteri Besar semula, tidak seperti mana yang dilakukan segelintir pemimpin lain untuk kembali menjadi Perdana Menteri dan sebagainya.

“Tetapi untuk Johor saya tidak akan ambil langkah tersebut. UMNO Johor berpegang dan akan kekal dengan cara Johor, jadi untuk memastikan kesinambungan antara kerajaan negeri dan parti sentiasa terjalin, maka Menteri Besar akan turut menjadi ahli dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Berhubung PRU-15, Hasni mengulas UMNO sudah meminta semua bahagian untuk membuat tinjauan lapangan di peringkat akar umbi sama ada PRU perlu disegerakan atau sebaliknya.

“Dalam mesyuarat ini, kita juga telah meminta semua bahagian untuk membuat tinjauan lapangan di peringkat akar umbi sama ada PRU perlu disegerakan atau sebaliknya.

“Kita maklum dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, telah ditetapkan PRU-15 perlu diadakan segera, tetapi UMNO Johor akan dapatkan maklum balas terlebih dahulu,” jelasnya.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut mengulas berhubung cadangan pembangkang untuk sekali lagi bekerjasama antara mereka bagi berdepan BN dalam PRU-15 melalui strategi Khemah Besar.

“Pendekatan khemah besar tidak bererti ia merupakan satu langkah yang akan menggugat akan dapat memastikan BN Johor khususnya kalah dalam PRU akan datang,” jelasnya mengulas cadangan parti politik pembangkang untuk bekerjasama dalam PRU-15 akan datang.

Cadangan ‘Khemah Besar’ antara pembangkang itu telah diutarakan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh berkempen sempena PRN Johor yang lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR