Tiada siapa berani lawan Anwar kerusi Presiden PKR, bagaimana anak murid?

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai aura di dalam partinya apabila kekal mempertahankan kerusi Presiden PKR sesi 2022-2025, setelah tiada pemimpin lain yang berani menentangnya dalam pemilihan kali ini.

Tatkala menerima kritikan setelah gagal membawa kemenangan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Anwar diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan itu.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara tidak langsung mengumumkan kemenangan Anwar dalam ciapan di laman Twitternya hari ini.

“Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada saudara @anwaribrahim,” katanya hari ini.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam (11 April), membabitkan jawatan pada peringkat cabang di seluruh negara, manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung semalam.

Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lalu.

Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Bagi pemilihan kali ini, jawatan nombor dua parti menyaksikan dua calon menawarkan diri, iaitu bekas Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli serta Saifuddin sendiri.

Pencalonan bagi jawatan Naib Presiden PKR menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding pada pemilihan bagi penggal 2022/2025, setakat 7 malam tadi.

Kerusi Naib Presiden yang memperuntukkan empat tempat, ditandingi Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri adalah Chang Lih Kang; Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan ADUN Sentosa, Dr G Gunaraj.

Lima lagi calon, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; bekas Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban; ADUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching serta ADUN Bukit Selambau, Dr R Summugam.

Bagaimana pula anak murid Anwar, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi? Adakah pemilihan UMNO akan diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)? Dan adakah pemimpin UMNO lebih berani daripada PKR untuk merebut kerusi Presiden?

Adakah kemungkinan terdapat pemimpin UMNO yang lebih berani daripada pemimpin PKR untuk mencabar kedudukan Presiden parti?

Sememangnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa Zahid akan berdepan pertandingan yang boleh jadi tiga atau empat penjuru dalam pemilihan bagi penggal 2021/2023, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Disember depan berdasarkan 18 bulan tempoh penangguhan yang diumumkan sebelum ini.

Sebab itu, Zahid dan penyokongnya mahukan PRU-15 diadakan lebih dahulu daripada pemilihan parti kerana bimbang ada pemimpin UMNO yang akan mencalonkan diri bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi yang kini dikuasai orang Zahid.

Lagi pula sekarang ini UMNO dikatakan berpecah teruk khususnya melibatkan Team Zahid dan Team Menteri-Menteri UMNO.

BERITA BERKAIT
POPULAR