Tiada seorang pun miliki majoriti, macam mana mahu lantik PM baharu

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia meletak jawatan Perdana Menteri namun pada masa sama tidak ada seorang pun pemimpin politik yang memperoleh majoriti yang meyakinkan untuk boleh dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Malah, Muhyiddin berkata jika beliau meletak jawatan sekarang dan tanpa ada Ahli Parlimen yang boleh menjadi Perdana Menteri, kerajaan tidak dapat dibentuk, sekali gus usaha menangani pandemik Covid-19 dan masalah rakyat akan terganggu.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?,” katanya dalam Perutusan Khas hari ini.

Pada masa sama Perdana Menteri berkata beliau mempunyai pilihan untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.

“Saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya atau meletak jawatan.

“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu.

“Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku,” kata Perdana Menteri dalam Perutusan khas sebentar tadi.

Bagaimanapun beliau menjelaskan sehingga kini tidak ada seorang pun Ahli Parlimen lain yang dapat membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh,” katanya.

Muhyiddin berkata tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting dan jika semua perancangan kerajaan dapat dilakansakan seperti yang dijadualkan, negara akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

“Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau telah berunding dengan Jemaah Menteri dan pimpinan parti-parti di dalam kerajaan PN untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara dan sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN bagi meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR