
Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Tidak ada satu parti pun ketika ini yang boleh mendabik dada bahawa mereka berada dalam posisi terkuat untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Demikian ditegaskan Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen ketika menjawab soalan bahawa Perikatan Nasional (PN) cuba membeli masa supaya PRU-15 tidak diadakan segera, pada Dialog Bipartisan: Mengintai PRU15 Astro Awani semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO juga menyuarakan kebimbangan akan berlaku Parlimen tergantung sekiranya pilihan raya diadakan segera.
“Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah pun bercakap dalam nada yang sama.
“Ketika ini, bukan soal PN tidak yakin. Hanya kita nak jadikan justifikasi Johor dan Melaka… itu tidak boleh jadi satu kayu ukur.
“Keadaan di Kelantan dan Terengganu, mungkin berbeza. Di Selangor, saya tidak rasa Barisan Nasional (BN) terlalu kuat, dah beberapa penggal kalah,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Rafiq berkata semua pihak harus merangka strategi dan persiapan bagi menangani bencana banjir yang dijangka berlaku pada November tahun ini, berbanding berpolitik dan mendesak PRU-15 disegerakan.
“Sepatutnya kerajaan hari ini memberi tumpuan merangka strategi bagaimana nak pastikan jangan berlaku lagi senario seperti banjir sebelum ini, yang ramai rakyat tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Tumpuan sekarang ini kita patut merangka strategi, kerajaan kena tumpu pada itu. Mengapa perlu tumpu pada berkempen, nak buat pilihan raya… tak tahu ke rakyat tengah susah sekarang ini banjir akan menimpa negara kita,” katanya.
Menurutnya keadaan ekonomi rakyat sekarang ini tidak menentu sedangkan penggal Parlimen hanya akan berakhir pada Julai tahun depan dan pilihan raya boleh diadakan sebelum September.
“Kita tahu rakyat tengah susah tetapi kita nak belanja lebih (buat pilihan raya). Kenapa tak boleh tunggu sehingga beberapa bulan sahaja lagi.
“Buat pilihan raya umum dan pilihan raya negeri bersekali, memang dapat jimatkan kos. Keutamaan kita sekarang ini apa, nak belanja duit untuk kepentingan politik atau kepentingan rakyat?” soalnya.