Tiada motif jahat di sebalik darurat: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tiada motif atau niat jahat di sebalik pengisytiharan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong meskipun kerajaan menerima banyak kritikan daripada blok pembangkang yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut dilakukan dengan tujuan utama membendung penularan pandemik Covid-19 serta mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu dan bukan digunakan untuk tujuan kepentingan politik semata-mata.

“Ini merangkumi penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

“Jadi, sila yakin bahawa tidak ada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat ini,” katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini.

Muhyiddin juga mengulangi bahawa darurat tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, harta persendirian dan hak undang-undang lain.

Katanya Malaysia berpegang teguh pada prinsip kedaulatan undang-undang, justeru, ia tidak akan bertindak dengan cara yang boleh menghina prinsip undang-undang yang dipegangnya.

“Sehubungan itu, adalah penting bahawa komuniti perniagaan, baik domestik dan antarabangsa memahami ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata usaha memerangi pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan individu dan semua pihak ini perlu berganding bahu dalam membanteras krisis ini.

Oleh itu katanya, beliau memberi jaminan kerajaan tidak berhasrat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali ketiga.

“Bagaimanapun PKP bersasar akan dilaksana di tempat tertentu yang berpotensi mencetuskan penyebaran,” katanya lagi.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gelaja wabak Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR