
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap calon Perdana Menteri bersama bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu berjumpa bagi membincangkan sebarang kemungkinan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu rakaman klip video di Facebook secara terbuka merayu untuk berjumpa dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagi memastikan UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak kembali berkuasa.
“Tak ada masalah, boleh jumpa boleh bincang.
“Tetapi selalu saya tekankan, yang penting, mengapa kita nak lawan BN, PN.
“(Kerana) dasarnya, (kita) tolak rasuah, soal tata kelola baik, tolak perkauman yang melampau. Kalau isu isu itu saya tiada masalah,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Bercakap melalui sebuah klip video yang disiarkan di Facebooknya awal hari ini (21 Oktober 2022), Dr Mahathir berkata beliau tidak kisah sekiranya dilabel tidak tahu malu ataupun menjilat ludah sendiri.
“…kerana itu saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikiran semacam (seperti) saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.
“Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat lidah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat orang yang merosakkan negara tercapai,” katanya.
Mengulas soal kerjasama terjalin pada pilihan raya umum lalu yang membuahkan kejayaan dengan kejatuhan UMNO-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir berkata sifir politik ketika itu amat jelas agar pembangkang bersatu.
“Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik.
“Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Anwar sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan daripadanya.
“Ini benar. Pada saya, perasaan peribadi, sikap sombong, ego, kepentingan diri tidak ada tempat dalam sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanah air.
“Sifir politik ketika itu juga amat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.
“Maka pilihan yang perlu saya buat amat mudah. Untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas-bekas musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut,” jelasnya.
Pada tahun 2018, Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri sekali lagi selepas berjaya menumbangkan kerajaan UMNO-BN di bawah tiket PH dan memerintah Malaysia selama 22 bulan sebelum akhirnya beliau meletakkan jawatan susulan enggan menyerahkan jawatan nombor satu negara itu kepada Anwar seperti dijanjikan.