Tiada masalah Maszlee calon MB Johor, kata setiausaha kelab penyokong Anwar

Kelab penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dikenali sebagai Otai Reformis memberi sokongan sekiranya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dicalonkan sebagai calon Menteri Besar (MB) Johor.

Spekulasi mengatakan Maszlee yang sebelum ini menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu atas tiket Bersatu antara nama yang disebut akan diletak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bakal dinamakan sebagai calon MB untuk PKR.

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail menyifatkan pencalonan Maszlee adalah langkah yang wajar dan tidak menjadi isu sekali pun beliau diangkat sebagai calon MB walaupun masih baharu dalam PKR.

“Situasi ini berbeza dengan pemilihan dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan ketika PRN Melaka lalu yang menerima tentangan hebat akar umbi PKR sekali gus menyaksikan kekalahan teruk. Ini kerana penyertaan mereka terlalu drastik apabila menyertai PH semata-mata kerana bertanding dalam pilihan raya.

“Maszlee bukan masuk PKR sebab pilihan raya, sebaliknya beliau masuk lebih awal sebelum desas-desus Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal dibubarkan. Jadi bukan hendak jadi calon atau kepentingan lain,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Abdul Razak berkata, Maszlee memang berasal daripada Pakatan Harapan (PH), namun disebabkan parti lamanya Bersatu memulakan Langkah Sheraton, beliau tidak ikut melompat sokong kerajaan, namun bergerak bebas dan terus menjadi pembangkang.

“Beliau bukan daripada UMNO, jadi tidak timbul isu sekiranya beliau menjadi calon dan diangkat menjadi Menteri Besar jika PH menang pilihan raya,” katanya lagi.

Pada November tahun lalu, Maszlee mengesahkan kemasukkan dalam PKR, ia diumumkan Anwar dalam satu majlis besar-besaran di Simpang Renggam.

Bekas pengikut setia Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini keluar Bersatu dan menyertai Pejuang kemudiaan bertindak keluar parti itu juga kini menjadi anak emas kepada Anwar yang masih mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri (PM).

Maszlee sebelum ini seorang ahli akademik dan menyertai Bersatu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Untuk rekod, Maszlee belum mengumumkan parti yang disertainya sejak menarik diri untuk bersama dengan parti diterajui Dr Mahathir.

Maslee pada November 2020 mengumumkan penarikan diri daripada Pejuang, selepas beberapa bulan menyertai parti tersebut.

Katanya, beliau mahu menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Pada Ogos 2020 lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan Pejuang yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

BERITA BERKAIT
POPULAR