Tiada kerjasama dengan Bersatu, Zahid buktikan dirinya bos UMNO sebenar

Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berunding dengan Bersatu dan juga PAS bagi menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir pasti menemui kegagalan.

Kegagalan kerjasama tersebut semakin menjadi kenyataan apabila semua parti akan mengumumkan calon masing-masing secara berasingan, ia sekaligus Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya membuktikan dirinya bos UMNO sebenar dan bukannya Ismail Sabri yang hanya memegang jawatan Naib Presiden parti.

Walaupun semasa Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini memberi mandat kepada Ismail Sabri untuk berunding dengan Bersatu dan PAS, ia bagaimanapun digagalkan oleh dua individu yang menjadi dalangnya iaitu Zahid dan rakan karibnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, Ismail Sabri sudah bertemu pemimpin Bersatu dan PAS selepas diberikan mandat tersebut, malah ia hampir mencapai kejayaan dengan kedua-dua parti tersebut sudah mencapai permuafakatan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Zahid dan Najib berjaya menghidu langkah yang sedang diatur oleh Ismail Sabri. Bagi memastikan usaha tersebut gagal, Zahid yang sedang berada di Jerman menghubungi Najib secara atas talian yang turut bersama-sama dalam sidang video atas talian juga adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan termasuk Ismail Sabri.

Ketiga-tiga mereka menolak usaha yang sedang dijalankan Ismail Sabri, malah sehingga ke satu tahap merendahkan kepimpinan PM selaku pemimpin nombor satu negara.

Ismail Sabri diingatkan dalam perbualan sidang video tersebut bahawa jawatan PM yang dipegangnya itu tidak bermakna segala keputusan parti adalah ditangannya.

Menurut sumber, Ismail Sabri yang tersepit terpaksa memanggil kumpulan Ahli Parlimen (MP) UMNO yang tidak bersama dengan kem Zahid bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkaitan kerjasama dengan Bersatu dan PAS.

Untuk rekod, kem Zahid terdiri daripada 15 MP yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, walaupun sudah ada yang bersama Ismail Sabri kini tetapi terdapat beberapa MP lain yang masih setia dengan Zahid.

Kecewa dengan tindakan Zahid dan Najib yang menggagalkan usahanya bagi memastikan kerjasama Bersatu dengan PAS berjaya, Ismail Sabri mengambil langkah untuk tidak terlalu menonjolkan diri bagi kempen PRN kali ini.

Langkah untuk tidak menonjolkan diri dalam PRN Melaka bertujuan bagi mengelakkan sengketa yang lebih teruk antara rakan parti dalam kerajaan, Ismail Sabri tidak boleh dilihat menyerang PAS dan Bersatu kerana sokongan yang diberikan juga antara faktor beliau kini memegang jawatan nombor satu negara.

Selain itu, Ismail Sabri juga tidak boleh dilihat mengkritik mahupun menyerang blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) kerana Memorandum Persefahaman (MOU) yang mengikatnya di peringkat kerajaan pusat.

Pembentangan Bajet 2022 juga ketika ini masih belum diluluskan sepenuhnya di setiap peringkat kementerian, Ismail Sabri perlu memastikan ia lulus semua dan oleh sebab itu perlu menjaga hubungan dengan parti pembangkang juga.

Jika tersilap langkah, buruk padahnya kerana cukup satu peruntukan kementerian gagal diluluskan kerana tidak memiliki majoriti undi di Dewan Rakyat, ia sudah cukup memalukan kepada Ismail Sabri.

Namun, kegagalan Ismail Sabri berunding dengan Bersatu dan PAS bukan berpunca daripadanya tetapi kerana angkara Zahid, Najib dan Mohamad.

Kesimpulannya, Zahid berjaya membuktikan kepada ahli-ahli UMNO bahawa bos sebenar parti adalah dirinya yang akan menentukan hala tuju parti walaupun berada jauh di Jerman.

Dibantu pula dengan Najib yang difahamkan membuat pelaburan besar di Melaka, Zahid begitu yakin UMNO akan menang besar pada PRN kali ini dengan mengalahkan semua lawannya termasuk PN dan juga PH.

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan bertanding semua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka esok.

Kedudukan kerusi sebelum ini adalah PH mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7), Amanah (2) dan PKR (2), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 12 kerusi dan PN (1).

BERITA BERKAIT
POPULAR