Tiada keputusan BN tinggalkan kerajaan PN 1 Ogos, kata Zambry

Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dibincangkan dikalangan ahli gabungannya, ia selepas spekulasi bertiup kencang mengatakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang untuk mendesak Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata cadangan untuk meninggalkan kerajaan PN tidak dibangkitkan dan mendakwa khabar angin tersebut sekadar berita, namun diperingkat BN perkara itu tidak ada dibawa ke mesyuarat.

“Dewan Tertinggi BN tidak ada membincangkan sebarang perkara berkaitan cadangan meninggalkan PN sebelum 1 Ogos ini.

“Ini mungkin berita yang disampaikan oleh kalangan mereka yang membuat berita-berita, saya selaku Setiausaha Agung BN tidak ada apa-apa berita berkaitan dengannya.

“Hal-hal yang demikian, setakat ini tidak kita bincangkan, Saya tidak dapat komen lebih daripada itu,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Spekulasi timbul apabila Presiden UMNO, Zahid didakwa sedang melancarkan gerakan untuk mendesak Menteri UMNO meletakkan jawatan di samping menetapkan tarikh akhir 1 Ogos bagi parti itu keluar daripada kerajaan PN.

Zahid turut dilaporkan aktif mengarahkan menteri-menteri daripada partinya untuk meletakkan jawatan sebelum 7 Julai, tarikh di mana Kabinet akan bermesyuarat mengenai sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir bulan ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO memenangi 54 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, 15 daripadanya melompat menyertai Bersatu menyebabkan UMNO kini hanya tinggal 39 Ahli Parlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR