Tiada jemputan, takkan PAS nak hadir ke PAU: Takiyuddin

UMNO tidak mengundang PAS ke Perhimpunan Agung 2021 yang membuka tirainya semalam, ia disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, tiada pemimpin PAS yang akan hadir bersama dalam perhimpunan parti tersebut memandangkan tiada undangan rasmi kepada parti tersebut seperti sebelum ini yang dibuat oleh UMNO.

“Setakat saya sebagai Setiausaha Agung saya tak terima jemputan untuk hadir (PAU). Jadi kita tak hadirlah.

“PAS dan UMNO masih dalam Kerajaan Persekutuan, kita berperdana menterikan Ahli Parlimen UMNO,” katanya pada sidang media Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin mengulas berhubung sama ada PAS ada menerima jemputan untuk menghadiri PAU 2021 seperti tahun-tahun sebelum ini.

Jelasnya lagi, PAS dan Perikatan Nasional (PN) tiada masalah dengan kerajaan persekutuan dan bersama membuat keputusan dalam kabinet serta menjalankan kerja-kerja dalam kementerian secara bersama walaupun mereka berbeza parti politik.

“Bagi pihak kita PN tak pernah ada masalah, bukan saja peringkat nasional tetapi juga peringkat negeri-negeri.

“Seperti di Perak misalnya PN ada yang jadi exco walaupun Menteri Besar daripada UMNO dan begitu juga di Kedah menteri besar daripada PAS dan ada exco daripada UMNO. Jadi kita tiada masalah,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR