
Pemimpin pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum ini. Foto kredit PMO
Blok pembangkang bersetuju untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman dengan kerajaan bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bukan bersetuju dengan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA).
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata sedang berbincang sebuah memorandum persefahaman di antara pembangkang dan kerajaan, ia termasuk cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Ismail Sabri semalam.
“Memorandum persefahaman ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad bin Sabu, bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PH juga berkata sudah mengadakan siri pertemuan melibatkan wakil PM yang terdiri daripada:
Wakil kerajaan
• YB Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri
• YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli
• YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
• YB Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia
• YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan
Wakil PH:
• YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR
• YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah
• YB Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP
• YB Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP
• YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan PKR
• YB Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi PKR
Menurut kenyatan itu, pertemuan yang berlangsung semalam membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19.
Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan.
Turut ditekankan PH berhubung suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana Covid-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik Covid-19 dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat.
“Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan draf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan,” kata kenyataan itu lagi.
Pembangkang sebelum ini mengesahkan sedang berunding CSA dengan pihak kerajaan ia selepas menolak tawaran sebelum ini yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika krisis politik sedang panas.
Bagaimanapun, pembangkang yang menolak tawaran tersebut sebelum ini kini dilihat beria-ria pula untuk menerima tawaran tersebut yang ditawarkan PM yang mewakili parti UMNO.